REAKSI spontan Pengerusi XOX Mobile, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi (tengah) selepas majlis pengumuman Chong Wei (tiga dari kanan) sebagai duta XOX Mobile pada sidang media di Damansara.
REAKSI spontan Pengerusi XOX Mobile, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi (tengah) selepas majlis pengumuman Chong Wei (tiga dari kanan) sebagai duta XOX Mobile pada sidang media di Damansara.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tidak mahu terlalu memikirkan soal permohonan tiket wild card ke Kejohanan Dunia 2015 Jakarta apabila namanya tidak disenaraikan secara merit minggu lalu.

Menurutnya, selagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum membuat sebarang keputusan siapa yang akan ke kejohanan itu, dia tidak mahu komen mengenai perkara itu.

“Apa saja keputusan dibuat BAM saya akan terima. Kini saya tidak boleh buat apa-apa walaupun mereka cuba meminta tiket wild card untuk saya,” katanya.

Jelasnya, dia perlu tunggu keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Ketua Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen yang bakal menyenaraikan pemain ke Jakarta.

“Saya tidak kisah sama ada dapat pergi atau tidak. Biar BAM dan Frost buat keputusan, apa saja keputusan saya terima,” katanya.

Berdasarkan senarai nama dikeluarkan BWF minggu lalu, Chong Wei Feng dan Zulfadli Zukiffli layak secara merit berdasarkan ranking terkini.

Wei Feng menghuni tangga ke-31, diikuti Zulfadli 41, manakala Chong Wei 45, namun BAM bercadang meminta tiket wild card khas buat pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan sama ada Chong Wei bakal diberikan tiket wild card akan diketahui selawat-lewatnya Jumaat ini.

Norza berkata, pihaknya tidak boleh buat sebarang keputusan mengenai senarai pemain yang akan dihantar hingga keputusan wild card dikeluarkan.

“Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) adalah tuan rumah dan mereka hanya boleh berikan tikel wild card kepada pemain negara mereka saja. BWF akan menentukan sama ada Chong Wei bakal terima atau tidak.

“Sekiranya keputusan tidak memihak kepada kita, maka BAM akan putuskan siapa ke sana kerana tarikh akhir pendaftaran 14 Mei ini,” katanya di majlis memperbarui kontrak penajaan antara syarikat telekomunikasi, XOX Berhad (XOX) dan BAM semalam.

XOX juga dalam masa sama berhasrat menjadikan Chong Wei selaku duta syarikat pada masa akan datang dan perbincangan mengenainya dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 9:16 AM
Digital NSTP Subscribe