PENYOKONG Presiden Abed Rabbo dirawat di sebuah hospital di Aden selepas cedera dalam pertempuran dengan pemberontak Houthi, semalam.
AFP

Sanaa: Sekurang-kurangnya 80 orang, separuh daripadanya orang awam, terbunuh akibat pertempuran sengit antara pemberontak Houthi dengan penyokong kerajaan pimpinan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi di Aden, kata pekerja penyelamat dan penduduk.

Antara yang terbunuh itu ialah kira-kira 40 orang awam yang cuba melarikan diri dengan bot dari pertempuran di bandar pelabuhan itu.

Orang awam itu adalah antara 50 penduduk yang menaiki bot dari daerah al-Tawahi untuk menuju ke daerah al-Buraiqa, kawasan lebih selamat di barat Aden.

Penduduk dan pejuang tempatan berkata, kira-kira 40 yang lain, termasuk seorang pegawai kanan tentera terbunuh dalam pertempuran di sekitar Aden.

Ia termasuk kira-kira 30 pemberontak Houthi dan 10 penyokong Abed.

Penduduk juga berkata, serangan udara yang diketuai Arab Saudi membantu pejuang tempatan mengundurkan pemberontak Houthi di Al-Tawahi, termasuk memusnahkan tiga kereta kebal.

Laporan lain menyebut pemberontak Houthi dan sekutu mereka menawan daerah Al-Tawahi dalam pertempuran berkenaan.

Antara yang terbunuh dalam pertempuran itu ialah komander tentera kawasan Brigadier Jeneral Ali Nasser Hadi.

Abed kemudian melantik Brigadier Jeneral Saif al-Baqrio untuk menggantikannya.

Arab Saudi yang mengetuai pakatan Arab mula melancarkan serangan terhadap Houthi yang disokong unit tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Salleh yang menawan sebahagian besar Yaman, termasuk ibu negara Sanaa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:16 AM