AFP

Turin, Itali: Alvaro Morata dan Carlos Tevez masing-masing menyumbat satu gol ketika Juventus mengukuhkan peluang layak ke final Liga Juara-Juara dengan kemenangan 2-1 ke atas Real Madrid pada separuh akhir pertama, awal pagi semalam.

Morata yang berpindah dari Real ke Juventus pada musim panas lalu, menampan masuk gol muntah daripada percubaan Tevez selepas lapan minit sekali gus menyebabkan Stadium Juventus gegak-gempita meraikan jaringan itu.

Tuan rumah bagaimanapun terikat sebelum setengah jam apabila Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-76 pada pertandingan itu, tandukan mudah mengatasi Gianluigi Buffon dari jarak dekat.

Namun kelab gergasi Turin itu kembali di depan apabila Tevez mengatasi Iker Casillas menerusi sepakan penalti selepas 57 minit apabila dia dijatuhkan Dani Carvajal dalam kotak penalti.

Real menanti kunjungan Juventus pada pertengahan minggu depan dengan mengintai peluang menggunakan kelebihan jaringan di tempat lawan bagi membida final kedua berturut-turut.

Bagaimanapun, Juve yang kali terakhir layak ke separuh akhir pada 2003 apabila mereka tumpas di tangan AC Milan pada final, berasa yakin untuk melakar kejutan sekali lagi menentang pemegang rekod 10 gelaran dan penyandang juara itu.

“Saya memang mahukan keputusan ini sejak wisel permulaan lagi,” kata jurulatih Juve Massimiliano Allegri.

“Tapi kami perlu bermain dengan lebih bagus pada separuh akhir kedua jika mahu terus mara.”

Morata yang tidak meraikan jaringannya berkata: “Kami perlu mempamerkan permainan sempurna di Bernabeu. Lagipun kami belum lagi menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 9:17 AM