Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: “Tanggungjawab perlu dipikul sepenuhnya pengurusan pasukan dan jurulatih serta pemain,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengulas prestasi kurang memuaskan pasukan Negeri Sembilan (NS) Matrix dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Mohamad yang juga Menteri Besar melahirkan rasa tidak senang dengan pencapaian pasukan setakat ini apabila pemain gagal mempamerkan aksi konsisten dalam setiap perlawanan dengan terbaru mereka kecundang kepada Kuala Lumpur 0-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat lalu.

Menurutnya, persembahan skuad bimbingan K Devan itu tidak membanggakan dengan empat kemenangan, dua seri dan tewas tiga kali daripada keseluruhan sembilan perlawanan.

“Memang prestasi pasukan NS Matrix setakat ini tidak memuaskan. Harus dijelaskan bagi persiapan musim ini kita (PBNS) tidak campur tangan dalam pemilihan pemain atas kemahuan ketua jurulatih, malah pemain yang diambil itu juga berharga ‘mahal’.

“Jurulatih tidak boleh tuding jari kepada PBNS atas kelemahan dipamerkan,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Pulau Pinang di gelanggang sendiri malam esok, Mohamad berkata, pemain Hoben Jang Hoben perlu melakukan perubahan jika inginkan kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 10:02 AM