Oleh Aziman Rosdi

Petaling Jaya: Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam menegaskan mereka tidak bercadang menambah penyertaan pasukan dalam Liga Super apabila Liga M diswastakan tahun depan.

Katanya, beliau sedar dengan keghairahan sesetengah pihak yang mahu lebih banyak pasukan bertanding dalam liga utama negara itu namun atas kekangan masa, tidak praktikal untuk menambah pasukan dalam masa terdekat.

“Tidak buat masa ini, saya faham kenapa ramai orang mahu melihat lebih banyak pasukan beraksi dalam Liga Super kerana lebih banyak perlawanan akan menjadikan saingan lebih menarik tapi kita kena menghadapi jadual perlawanan padat.

“Kalau kita boleh masukkan lebih banyak perlawanan dalam kalendar, mungkin kita boleh kaji cadangan ini pada masa depan. Buat masa ini kita belum lagi bersedia,” katanya selepas Bengkel Media anjuran MP & Silva, FMLLP dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

FMLLP ditubuhkan tahun ini untuk mengambil alih tugas FAM menyelia Liga M yang bakal diswastakan tahun depan. Buat masa ini hanya 12 pasukan bertanding dalam Liga Super dan 12 pasukan dalam Liga Perdana.

Namun walaupun bilangan pasukan dilihat sedikit berbanding liga di luar negara, Liga M tidak dapat lari daripada masalah jadual padat membabitkan pasukan Liga Super khususnya yang turut bersaing dalam Piala AFC.

Menurut Kevin, bekas CEO The Red Warriors Sdn Bhd, pihak FMLLP akan berusaha memperbaiki masalah jadual padat serta pindaan kerap berlaku sebelum ini.

“Kita kena lihat kalendar dulu, sekarang ada satu ketika ada pasukan bermain satu perlawanan dalam tiga hari dan ini bukan sesuatu yang kundusif untuk kualiti bola sepak. Kita tak mahu berjanji masalah ini tidak berlaku lagi tapi kami akan cuba yang terbaik untuk memperbaikinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 10:14 AM