X

Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan berita kematian tiga sekeluarga akibat kemalangan yang berlaku di lebuh raya Duke.

SS rasa belum terlambat untuk mengucapkan takziah kepada keluarga terutama dua anak yang kini menjadi yatim piatu dalam sekelip mata. Semoga roh ibu bapa dan adik bongsu mereka ditempatkan dalam kalangan insan soleh dan solehah.

Apabila bercerita mengenai kejadian langgar-melanggar, SS dapat tahu selebriti ini mendakwa kononnya ada sebuah kereta melanggar keretanya dari belakang. Bagaimanapun, menurut artis itu, pemandu kereta terbabit terus pergi begitu saja tanpa berhenti untuk melihat keadaan keretanya ataupun bertanya khabar mengenai

keadaannya.

Maka dengan rasa marah, SS dikhabarkan yang selebriti itu memuat naik rasa marahnya itu dalam salah satu laman sosial miliknya dengan

mengatakan orang yang kononnya melanggar itu tiada adab dan tidak bertimbang rasa.

Dia turut meletakkan gambar kereta yang dikatakan melanggar kenderaannya itu dalam laman sosialnya. Maka perkara kecil itu menjadi agak besar kerana laman sosial itu ‘terbuka’ kepada semua orang. Lantas ada sahabat pemandu kereta terbabit tampil menafikan sahabatnya itu melanggar kenderaan selebriti itu kerana selepas dia membelek keretanya, tiada sebarang calar-balar pun. Kalau betul dia terlanggar kereta selebriti itu, pasti ada kerosakan pada keretanya.

SS yang tiada di tempat kejadian tidak dapat memastikan siapa benar siapa salah. Cuma pada pendapat SS kalau benar kereta berkenaan melanggar kereta selebriti itu, ambil nombor pendaftaran kereta itu dan laporkan kepada polis. Habis cerita, tak perlu nak bising-bising kat laman sosial. Selebriti ini agak warak orangnya, jadi buatlah sesuatu perkara itu dengan matang dan kewarasan.

SS: Tak mahu berprasangka buruk, tetapi kadang-kadang musykil juga ramai ustaz dan ustazah ‘jadian’ sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 12:40 PM