DADAH yang berjaya dirampas dalam serbuan di kediaman sepasang kekasih.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Pasangan kekasih berusia 30-an ditahan polis bersama dadah jenis ketamin seberat 1.12 kilogram dalam serbuan di Taman Syukur, Ipoh Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner Yap Thoon Khuan berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira 11.20 pagi di rumah sewa pasangan terbabit, dadah ditemui dalam beg yang disembunyikan di kediaman berkenaan dan nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM44,800.

"Pasangan terbabit adalah seorang lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai juru elektrik dan mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes penipuan komersil.

"Teman wanitanya pula berusia 38 tahun dan mempunyai perniagaan sendiri serta pemeriksaan mendapati wanita ini mempunyai dua waran tangkap membabitkan dua kes penipuan di Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek turut positif dadah jenis amphetamine dan kini direman selama tujuh hari sehingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 1:00 PM