SUSPEK yang dikehendaki polis. FOTO ihsan PDRM
Oleh Junidi Ladjana


Kota Kinabalu: Seorang pembantu Mekanik cedera dibetis kanan selepas ditembak menggunakan pistol oleh lelaki dikenali sebagai 'Mat MALAYA' dalam kejadian di sebuah kedai penghawa dingin kereta di Jalan Tuaran By Pass, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, mangsa berusia 36 tahun dirawat di Hospital Likas sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian disebabkan suspek dijeling oleh mangsa sehingga menyebabkan suspek naik berang lalu tercetus pergaduhan.

"Ketika bergaduh, suspek dikatakan mengeluarkan sepucuk pistol lalu melepaskan tiga das tembakan.

"Satu das terkena dibetis kanan mangsa lalu menyelamatkan diri sebelum pergi ke Hospital Likas, untuk rawatan lanjut," katanya dalam sidang media, di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, polis sedang memburu suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan cubaan bunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 4:07 PM