PENGARAH dan pelakon Awang Kudis Buta berjanji akan memberikan persembahan yang menghiburkan penonton.

Cabaran disambut oleh pengarah dan tiga pelakon yang terbabit dengan pementasan bangsawan Awang Kudis Buta (AKB) dari pada Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang akan beraksi di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 8 Mei (malam ini) hingga 10 Mei ini jam 8.30 malam.

Ia teater kedua dalam Siri Semarak Bangsawan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) selepas pementasan bangsawan Raja Ku Puteh arahan Raja Azrey yang menerima sambutan hangat pada April lalu.

Pengarah teater ini, Nazri Ahmad dan barisan pelakonnya, Zul Handy Black, Yaya Maembong dan Shahriza Mahmud menjanjikan kelainan dan percaya peminat terhibur menonton naskhah terbaru tulisan Milyana Arshad ini.

Nazri, 45, bukan nama baru kerana berkecimpung dalam seni persembahan teater lebih daripada 22 tahun. Dia yang turut bergelar Yang Dipertua Majlis Teater Selangor, memulakan karier bersama Grup Teater Hidayah dan pada masa sama menggerakkan aktiviti teater Kilat TNB pada 1997.

“Kelab Kilat TNB antara kumpulan yang aktif buat persembahan di sekitar ibu negara dan pernah buat pelbagai persembahan antara­nya Kasanova pada 2005 dan Merdeka Terakhir pada 2007.

“Untuk Awang Kudis Buta, saya menggunakan khidmat tiga pelakon terkenal serta menggabungkan lapan pelakon dari­pada Persatuan Teater Kuala Lumpur dan Selangor.

“Boleh dikatakan kami teruja kerana selepas sembilan tahun penganjuran Siri Semarak Bangsawan JKKN, inilah kami pertama kami berpeluang beraksi kerana sebelum ini kurang bernasib baik,” katanya.

Menurutnya, Awang Kudis Buta diangkat daripada jurnal penglipurlara atau Awang Batil, tetapi disesuaikan de­ngan perkembangan semasa.

“Teater ini masih kekal dengan bentuk asal, tapi diberikan sentuhan moden yang segar. Saya juga masukkan lima lagu ciptaan baru yang turut membabitkan badan tarian Pelitawanis TNB dan Band Kelab Kilat TNB.

“Saya percaya pada kekuatan barisan pelakon kerana masing-masing mempunyai pengalaman luas. Penampilan Zul pula agak istimewa kerana dia belum pernah berlakon teater.

“Menerusi teater ini, peminat dapat melihat dia berlakon, bersilat dan menyanyi. Saya berterima kasih kepada Yang Dipertua Kelab Kilat Kuala Lumpur, Ismail Abdul Rahman dan Naib Yang Dipertuanya, Mohd Noor Saleh kerana sentiasa menyokong kami,” katanya.

Zul mengakui Awang Kudis Buta adalah cabaran baru dalam kariernya dan menyifatkan dirinya beruntung terpilih membintangi teater ini.

“Kalau menyanyi saya hanya perlu jaga vokal, tapi berlakon teater menuntut saya buat semuanya pada satu masa. Saya perlu elakkan daripada buat salah kerana babaknya bukan boleh dihentikan seperti saya berlakon drama atau filem.

“Di sini, saya bertuah kerana mempunyai latihan yang cukup, sekali gus dapat mempertajamkan lagi skrip,” katanya.

Pemegang watak Awang Kudis Buta ini mengalami kecederaan di kaki ketika sesi latihan sehingga menerima lima jahitan, namun dia tetap menggagahkan diri hadir ke sesi fotografi bagi membuktikan komitmen­nya terhadap teater ini.

“Saya seronok apabila terbabit dengan kumpulan teater. Budaya orang teater berbeza kerana mereka tak fikir soal bayaran dan berlakon kerana minat mendalam.

“Saya dapat menilai sejauh mana mereka sayangkan genre ini. Perasaan ini mengatasi segala-galanya,” katanya yang gembira digandingkan dengan Yaya dan Shahriza.

Yaya sememangnya sudah biasa membintangi teater bangsawan antaranya Mahsuri dan Puteri Selindungan Bulan. Kali ini dia melakonkan watak Puteri Cempaka Sari.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja dengan pengarah senior seperti Pak Morad dan Pak Rahman B dan kini dengan pengarah generasi muda pula. Sudah tentu sentuhan mereka berbeza.

“Untuk kali ini juga ada kelainannya kerana bangsawan ini lebih terkini daripada aspek dialog, pentas dan pergerakan pelakon sendiri. Tapi saya lihat bentuk asal bangsawan iaitu gurindam dan extra turn tetap dikekalkan.

“Kalau diikutkan saya teringin juga nak cuba watak lain selain puteri, tapi saya akur dengan pilihan pengarah yang lebih suka saya buat watak itu. Apapun saya memang seronok berlakon teater bangsawan kerana membawa kepuasan tersendiri,” katanya.

Biarpun pernah terbabit dengan teater, Awang Kudis Buta adalah pengalaman pertama Shahriza terbabit dengan genre bangsawan.

“Tahun lalu saya buat teater Gelanggang Tok Wali. Kali ini buat bangsawan pula dan ia pengalaman baru buat saya. Konsep lakonannya tetap ada, cuma cerita bangsawan lebih terarah kepada mitos, fantasi dan gaya bahasanya yang berbeza.

“Saya melakonkan watak Nenek Kebayan dan ia antara penggerak cerita kerana terbabit dengan dua karakter Awang. Sekurang-kurangnya dalam setahun saya nak pastikan sekali terbabit dengan teater.

“Walaupun tak dijanjikan bayaran lumayan, ia perlu kerana berlakon teater seperti proses ulangkaji buat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 12:14 PM