MAHU kembang karier ke peringkat antarabangsa.
Oleh Ramlah Zainal


Nama pendatang baru, Nanasheme mula meraih perhatian peminat hiburan tanah air apabila klip video single pertamanya. Permintaan Hati dimuat naik di YouTube dan ditonton lebih kurang 41,000 penonton pada penghujung 2013.

Ia adalah pencapaian yang sangat memberangsangkan bagi bakat baru sepertinya.

Terbaru, penyanyi muda berbakat besar kelahiran Kuching, Sarawak ini mempertaruhkan single keduanya pula berjudul Hantu Atau Buaya sentuhan komposer terkenal, DJ Fuzz dan liriknya oleh Adib. Proses rakaman single itu berlangsung di Mixology Studio, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2014.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Nur Nabilah Hashimi, 20, mengakui single Hantu Atau Buaya sedikit berbeza konsepnya berbanding lagu Permintaan Hati yang berentak slow balada.

“Single Hantu Atau Buaya lebih ‘catchy’ dan sesuai dengan usia saya yang baru mencecah 20 tahun. Semoga single kedua ini diterima dengan baik oleh peminat muzik serta mendapat sokongan daripada stesen radio tempatan.

“Single kedua ini memiliki kekuatan dengan gabungan pelbagai genre muzik seperti elemen reggae, akustik dan pop. Beliau juga sangat santai ketika bekerja dan tahu apa yang dimahukannya.

“Saya juga selesa bekerjasama dengan DJ Fuzz kerana dia juga tidak memberi tekanan kepada saya dan semua yang terbabit dalam proses rakaman di studio seperti jurutera bunyi. Pada masa sama, dia juga pastikan saya dapat menyampaikan lagu itu dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, Nanasheme berkata, pada mulanya, dia juga fikir judul lagu Hantu Atau Buaya memang pelik dan tidak komersial.

“Namun, selepas mendengar lagu itu, saya berasa teruja untuk menyampaikannya dan mencuba sesuatu yang baru. Apa yang menarik, lagu ini menceritakan mengenai pasangan yang bercinta,” katanya.

Berkongsi cabaran ketika proses rakaman, kata Nanasheme, dia mengakui berasa malu dan gementar, tetapi lama-kelamaan ia dapat di atasi.

“Alhamdulillah, setakat ini, sambutan pada single Hantu Atau Buaya sangat bagus daripada peminat terutama di laman sosial,” katanya.

Tidak gentar bersaing

Tidak dapat dinafikan, ramai bakat baru yang digilap daripada YouTube mewarnai bidang seni tanah air ketika ini.

Justeru, kehadiran Nanasheme turut menambahkan lagi artis YouTube yang membanjiri persada hiburan.

“Saya juga tidak kisah jika orang kenal saya sebagai artis YouTube kerana di situlah kerjaya bermula dalam bidang seni. Sebenarnya, saya sudah mula ‘upload’ video nyanyian di YouTube pada 2011 tapi hanya pada 2013, peminat mula perasan bakat saya,” katanya.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara pelajaran dan karier seni, pemegang jurusan Diploma Bangunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kota Samarahan, Sarawak ini mengakui ia bukan halangan besar baginya.

“Saya akan fokus pada pelajaran ketika kuliah. Kalau cuti semester, barulah saya ke Kuala Lumpur untuk buat promosi dan sebagainya. Namun, kalau ada persembahan, saya pastikan pada hujung minggu atau cuti.

“Sebelum saya menandatangani kontrak, memang pihak Life Records sudah bincang mengenai jadual. Setakat ini, saya masih boleh seimbangkan antara karier dan pelajaran kerana menetap di Kuching,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini juga lebih suka bersaing secara sihat dalam bidang seni tempatan.

“Sebenarnya saya tidak ada hasrat untuk bersaing dengan sesiapapun. Saya terjun dalam bidang seni untuk memeriahkan lagi industri. Saya juag lebih suka bersaing dari sudut yang positif dan bukan untuk menjatuhkan sesiapapun,” katanya.

Suka imej ringkas dan santai

Mengenai penampilan berhijab, kata Nanasheme, dia mula tampil dengan imej begitu sejak Ramadan tahun lalu.

“Walaupun sudah berhijab, saya masih mengekalkan imej dan penampilan yang santai seperti jean, ‘sneakers’ tapi masih menutup aurat. Saya juga masih lagi beralih ke imej baru ini secara perlahan-lahan,” katanya.

Penyanyi yang mengagumi Yuna dan Afgan ini juga mahu mengembangkan lagi muziknya ke peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 12:32 PM