FATIN Aisya Abdul Karim.
INDIVIDU Melayu pertama menembusi pasaran tudung Muslimah di Isetan KLCC.
FATIN AISYA komited dalam kerjayanya.
KEJAYAAN yang dimiliki Fatin Aisya hasil usaha kerasnya dalam bidang perniagaan tudung.
KEJAYAAN yang dimiliki Fatin Aisya hasil usaha kerasnya dalam bidang perniagaan tudung.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Penampilannya yang bersahaja namun sentiasa mengukir senyuman manis antara kelebihan pemilik nama Fatin Aisya Abdul Karim, 29, yang juga anak kelahiran Kuantan, Pahang ini.

Siapa sangka, wanita berkarisma tinggi itu yang juga pengasas jenama Asha Karim adalah individu Melayu pertama yang diberi kepercayaan untuk memasarkan koleksi tudung di gedung Isetan KLCC.

Menurut Fatin Aisya yang mesra dipanggil Asha, berjaya mendapat tempat menghuni salah satu ruang di Isetan Suria KLCC bukan mudah terutama ketika meyakinkan gedung beli-belah itu menerima produk tudung anak tempatan.

“Bukan mudah untuk Isetan KLCC menerima jenama atau produk yang menjual tudung kerana di situ lebih terkenal dengan fesyen moden dan terkini.

“Kejayaan ini bermula pada penghujung 2012 apabila saya dipanggil oleh pihak pengurusan Isetan KLCC untuk berbincang mengenai koleksi tudung, sekali gus menjadi detik permulaan mereka untuk membuka ruang kepada saya,” ujarnya sambil tersenyum meng­imbas kembali kenangan manis itu.

Fatin Aisya berkata, pertemuan yang berlangsung itu terhenti seketika tanpa sebarang khabar berita, namun dia berasa amat teruja apabila pengurus besar Isetan mahu bertemunya untuk melihat sendiri koleksi tudung Asha Karim dalam beberapa bulan selepas pertemuan pertama.

“Dengan penuh keyakinan saya berjumpa dengannya dan pertemuan itu membuahkan hasil selepas saya ditawarkkan untuk menjual tudung keluaran saya di gedung beli-belah itu.

“Itu adalah kejayaan diri saya yang amat membanggakan kerana saya individu Melayu pertama diberi peluang menjalankan perniagaan tudung dan berjaya menembusi pasaran Muslimah di gedung beli-belah tersohor itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Plaza Damas 3, Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Lebih menggembirakan apabila jenama Asha Karim berjaya memasuki semua gedung Isetan bukan saja di KLCC, malah di seluruh negara sejak Julai tahun lalu.

“Bagi memastikan setiap koleksi saya sentiasa terkini dan menepati kehendak Isetan KLCC serta pelanggan, saya perlu mengemas kini dan mempelbagaikan rekaan tudung.

“Saya pastikan setiap tudung dan selendang di bawah jenama Asha Karim ini bukan saja cantik digayakan malah, memudahkan serta yang pastinya terkini,” ujarnya.

Menurut Fatin Aisya yang sentiasa me­ngamalkan sifat menepati masa dan komited dalam menjalankan tugasannya, dia juga sentiasa memastikan setiap kakitangannya menjalankan tugasan dengan penuh disiplin.

“Perkara itu amat penting kerana bukan mudah untuk saya terus kekal di gedung beli-belah ini kerana saya perlu mencapai sasaran jualan yang ditetapkan pihak pe­ngurusan.

“Namun saya sentiasa bersyukur kerana selain mempunyai kakitangan yang komited dalam menjalankan tugas, pada masa sama saya turut dianugerahkan suami yang amat memahami dan banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada saya,” katanya.

Fatin Aisya mengakui suami­nya, Azli Abu Hadzim, 38, adalah gurunya dalam bidang perniagaan kerana dia banyak memberi maklumat dan tunjuk ajar berguna kepadanya bagi memastikan perniagaan tudungnya terus diterima umum.

“Saya sama saja seperti individu lain kerana saya juga bermula dari bawah. Pada mulanya saya menjalankan perniagaan tudung ini secara dalam talian.

“Ketika itu saya yang baru saja berhijab gemar mencipta tudung dan selendang mengikut kehendak sendiri yang pastinya perlu cantik dan bergaya, namun tetap memenuhi syariat,” katanya.

Menurutnya, bermula dari situ dia pastikan setiap koleksi tudungnya sentiasa terkini sehinggalah berjaya menempa nama menjadi antara jenama tudung tersohor di negara ini.

“Tudung saya mempunyai pelbagai rekaan terkini bermula daripada tudung yang hanya perlu disarung sehinggalah selendang yang dihiasi perincian renda, batu dan manik yang indah.

“Kini, selepas hampir lebih tiga tahun berkecimpung dalam bidang ini, saya sentiasa berusaha memastikan jenama tudung yang saya hasilkan digemari semua lapisan usia bermula daripada belasan tahun hinggalah golongan dewasa,” ujarnya.

Walaupun ada antara koleksinya yang dijual dengan harga tinggi, dia akui pelang­gan berpuas hati dengan kualitinya yang terbaik dan selesa.

“Saya akan mening­katkan usaha untuk memastikan kejayaan ini berterusan dan memuaskan hati pelanggan dengan menghasilkan koleksi tudung yang menepati cita rasa mereka.

“Walaupun bukan mudah, bagi saya tiada yang mustahil asalkan sentiasa mengamalkan ketekunan dan disiplin tinggi dalam diri,” ujarnya mengakhiri bicara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 3:03 PM