Skip this ad x
PEGANG watak utama dalam filem Melayu pertama Singapura, Banting.
Syanty Octavia Amry


Minat terhadap sukan gusti memberi peluang buat pelakon Singapura, Izyan Mellyna memegang watak utama menerusi filem Melayu pertama Singapura berjudul Banting yang mula ditayangkan di seluruh negara sejak 7 Mei lalu.

Izyan, 28, yang mula berlakon sejak berusia lapan tahun mengakui begitu meminati sukan gusti.

Apabila ditawarkan produksi Papahan Films mengenai watak ini, dia begitu teruja dan tidak sabar untuk beraksi.

Malah, selepas ditayangkan di Singapura pada Oktober tahun lalu, Izyan berpuas hati apabila maklum balas yang diterima daripada penonton begitu memberangsangkan selama ia ditayangkan di sana.

Berikutan itu, apabila ia bakal ditayangkan di Malaysia, Izyan tidak meletakkan harapan yang begitu tinggi sebaliknya mahu penonton ‘enjoy’ menyaksikan filem ini.

Banting adalah filem Melayu pertama Singapura selepas 40 tahun negara itu tidak menghasilkan filem Melayu.

“Saya berdebar apabila mendapat tahu filem ini bakal ditayangkan di sini. Saya tidak pernah menduga, malah tidak terfikir bahawa filem ini bakal ditayangkan di negara lain.

“Saya harap penonton akan terhibur dan dapat menerima jalan cerita seperti ini. Apa pun saya tidak berani berharap terlalu tinggi,” katanya.

Bercakap mengenai wataknya sebagai wanita bertudung yang begitu meminati sukan gusti, wanita yang kini hamil lima bulan itu mengakui semua aksi dilakukannya sendiri.

“Saya suka dengan watak dalam filem ini, sukan gusti adalah sukan yang begitu saya gemari. Boleh dikatakan semua aksi di dalam filem ini saya lakonkan sendiri tanpa menggunakan pelakon aksi.

“Mengenai karakter saya yang bertudung, saya berharap tidak ada yang salah faham. Apa yang cuba saya sampaikan ialah wanita bertudung boleh melakukan apa saja yang wanita tidak bertudung lakukan.

“Pada saya, penampilan bukan halangan untuk seseorang melakukan sesuatu yang diminati. Apa yang penting keinginan dan kesungguhan itu harus dibuktikan supaya orang yakin dengan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 5:02 AM