Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Unit Program Asiacomm 2006, Damien Kelly calon utama memegang jawatan baru Ketua Pegawai Operasi (COO) Program Podium iaitu projek pembangunan dan persediaan atlet untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (gambar), Kelly calon terbaik untuk memegang jawatan itu yang dijangka memulakan tugas Julai ini.

“Mereka yang memegang jawatan ini menjaga keseluruhan operasi pengurusan Program Podium tapi berbeza dengan Pengarah Sukan Berprestasi Tinggi Negara berpangkalan di Kementerian Belia dan Sukan,” katanya selepas Mesyuarat Program Podium bersama persatuan sukan kebangsaan semalam.

Jelasnya, siapa yang memegang jawatan COO Program Podium akan ditugaskan untuk mengendalikan projek di peringkat tertinggi dan Kelly sebelum ini mempunyai pengalaman berkhidmat di Malaysia.

“Banyak perkara akan dibincangkan dan Kelly juga mempunyai pengalaman berkhidmat di sini hingga awal 2007. COO Program Podium ini akan berpangkalan di ISN,” katanya.

Sementara itu, Ramlan berkata, Program Podium itu dibahagikan kepada tiga peringkat dan setakat ini seramai 137 hingga 140 atlet antara calon awal untuk ditempatkan dalam projek itu.

“Peringkat pertama membabitkan atlet bertaraf tinggi yang berada di ranking pertama hingga keempat terbaik dunia, peringkat kedua pula dalam kalangan mereka yang menduduki antara ranking kelima hingga kelapan dunia.

“Mereka yang mampu menyumbang pingat dan memenangi beberapa kejohanan utama ditempatkan di peringkat ketiga,” katanya yang menjelaskan secara terperinci mengenai program lanjutan dari Program Road To Rio itu.

Disebabkan program itu sangat istimewa, atlet yang terpilih bakal menerima pakej lumayan sama taraf dengan tahap dan kemampuan mereka.

“Pakej ini akan diumumkan kemudian dan sudah tentu kami akan menampakkan perbezaan dengan atlet lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 6:09 AM