X
AFP

Madrid: Real Madrid dan Barcelona tidak boleh memikirkan mengenai Liga Juara-Juara ketika harapan mereka menjuarai La Liga sekali lagi menjadi pertaruhan apabila menerima kunjungan Valencia dan Real Sociedad.

Bagaimanapun, perebutan kejuaraan dibayangi ancaman perlawanan liga dibekukan hujung minggu depan kerana pertelagahan antara Persekutuan Bolasepak Sepanyol, kesatuan pemain dan liga mengenai pembahagian dana daripada undang-undang baru yang diluluskan terhadap hak siaran televisyen.

Pemain senior dari Real dan Barca, termasuk kapten Iker Casillas dan Xavi Hernandez, hadir pada sidang akhbar kelmarin menyokong pendirian kesatuan pemain kecuali jalan penyelesaian ditemui sebelum hujung minggu depan.

Real kini dua mata di belakang Barca di puncak carta dengan baki tiga perlawanan dan berdepan tugas getir menentang Valencia yang mahu memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dengan penamat tangga keempat.

Valencia menamatkan rentetan 22 kemenangan juara Eropah itu apabila mereka bertemu Januari lalu dan Real juga mungkin terjejas selepas kalah 1-2 kepada Juventus pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, pertengahan minggu ini.

“Ia mampu mempengaruhi, tapi mereka mempunyai pemain hebat dan staf teknikal bagus yang tahu bagaimana menangani pemain,” jelas penyerang Valencia, Paco Alcacer.

“Namun, kami hanya perlu fikirkan diri sendiri. Penting Valencia berada dalam Liga Juara-Juara dan itulah yang kami tumpukan.”

Real boleh menurunkan semula penyerang Karim Benzema (gambar) yang kembali berlatih kelmarin selepas terlepas enam perlawanan kerana kecederaan lutut.

Barca mungkin boleh melonjak lima mata di puncak liga sebelum sepak mula Real di Bernabeu apabila mereka menanti kunjungan Sociedad kendalian David Moyes di Nou Camp.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:18 AM