Kuala Lumpur: Polis menjumpai pisau yang dipercayai digunakan seorang guru agama dalam kes bunuh seorang janda beranak empat di hadapan Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baru, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R Supramaniam berkata, pisau berkenaan yang menjadi bukti kukuh dalam kes itu dijumpai di dalam Sungai Tua, Ulu Yam, dekat sini, kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

“Operasi pencarian senjata itu disertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Hulu Selangor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Hulu Selangor selain bantuan Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata dengan penemuan bahan bukti itu, pihaknya yakin kes itu sudah selesai.

Dalam kejadian Rabu lalu, Nur Salina Nazir, 34, yang menjalankan perniagaan dalam talian dilapor mati dibunuh teman lelakinya di hadapan Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baru.

Mayatnya ditemui dalam kereta miliknya dalam keadaan terlentang di bahagian tempat duduk pemandu serta mempunyai empat kesan tikaman di dada, rusuk kanan dan kiri serta lengan kiri.

Susulan kejadian 9 pagi itu, seorang guru agama berusia 29 tahun di sekolah itu diberkas di rumahnya di Taman Bukit Bujang, Kuala Kubu Baru. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 1:06 AM