Juara Kejohanan Ragbi Asia hadiah hari jadi terbaik
Juara Kejohanan Ragbi Asia hadiah hari jadi terbaik
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bintang ragbi negara, K Dineswaran mahu menjadikan ulang tahun kelahirannya pada 22 Mei ini lebih bermakna dengan berazam membantu skuad ragbi 15 sebelah negara menjuarai Kejohanan Ragbi Asia yang bermula esok di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Dineswaran atau Dugro mula menggegarkan arena sukan ragbi tanah air apabila diikat kelab profesional Jepun, Yamaha Jubilo sejak 2013 lalu dan baru-baru ini dilaporkan pasukan yang berpusat di Shizuoka itu menyambung kontraknya hingga 2016.

Menurut anak jati kelahiran Sungai Petani itu, kempen Asia musim ini dianggap sesuatu yang istimewa memandangkan saingan kali ini berlangsung hampir dengan tarikh hari lahirnya.

“Kebetulan hari lahir saya jatuh pada 22 Mei, seminggu selepas Kejohanan Asia tamat. Saya mengidamkan hadiah hari jadi dengan membantu negara mempertahankan kejuaraan lebih-lebih lagi apabila beraksi di depan penyokong sendiri,” katanya yang menjejak usia 27 tahun.

Beraksi di posisi kegemarannya ‘lock’, Dugro antara pemain import Liga Ragbi Jepun yang cukup terkenal dengan larian pantas di samping memiliki susuk tubuh besar dengan ketinggian mencecah 1.98 meter dan berat 120 kilogram ternyata cukup sukar untuk dihalang.

Berdasarkan rekod cemerlangnya bersama Yamaha Jubilo, Dugro memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab itu menjuarai Kejohanan Ragbi Kebangsaan Jepun apabila menyingkirkan pasukan Suntory Sungoliath 15-3 pada aksi final musim lalu.

Justeru, sudah pasti skuad kebangsaan dibimbing Lee Nyuk Fah mengharapkan pengalaman dan kudrat Dugro menjamin kemenangan Malaysia pada saingan ARC nanti.

“Saya bersedia berjuang berhabis-habisan demi memburu kemenangan pasukan negara. Lagipun, pasukan kali ini saya lihat lebih baik daripada musim lalu.

“Semangat pasukan begitu tinggi ketika ini. Pemain senior dan junior saling membantu dan komitmen pemain juga cukup tinggi setiap kali latihan dan aksi persahabatan. Saya yakin keputusan positif akan berpihak kepada kami,” katanya.

Malaysia bakal membuka gelanggang bertemu Taiwan di Stadium MBPJ sebelum diuji Thailand (13 Mei) dan UAE (16 Mei). Format baru ARC kali ini menyaksikan juara divisyen dua bakal dinaikkan ke divisyen satu musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 9:57 AM