TERTUDUH, K Siva, 32 (tengah) dan S Satish, 22, (kanan) dijatuhi hukuman gantung sampai mati. FOTO Sharul Hafiz Zam
Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Dua sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas kesalahan mengedar dadah jenis heroin dan monoacethylmorphines seberat 196.4 gram kira-kira tiga tahun lalu.

Keputusan dibacakan Pesuruhjaya Tinggi Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab di depan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh K Siva, 32 dan S Satish, 22, masing-masing berasal dari Sungai Petani didakwa melakukan kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 156.1 gram dan monoacethylmorphines seberat 40.3 gram.

Kedua-kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 7 malam di depan lorong Bangunan HPA, Jalan Cempaka 1, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani pada 19 Julai 2012.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam KT Jayaraj.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 4:16 PM