BARANG kes yang dirampas.
Oleh Yusmawati Mhd Yusof


Jasin: Satu kumpulan pecah rumah dikenali sebagai 'Geng Alif' yang aktif di Melaka dan Negeri Sembilan tumpas selepas ketua dan dua ahlinya ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Bukit Sedanan, Selandar di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 27 tahun termasuk ketuanya dikenali sebagai Alif ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jasin antara jam 9.50 pagi hingga jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, susulan tangkapan itu pihaknya menahan empat lelaki termasuk tiga warga Bangladesh berusia 21 hingga 45 tahun di dua lokasi berasingan di Bukit Sedanan semalam dan pagi tadi.

"Hasil tangkapan ke atas empat pembeli itu kita merampas barang kes iaitu sebuah televisyen jenama Sony 48 inci, empat komputer riba 1Malaysia dan masing-masing sebuah mesin pemotong rumput dan pengilat kereta.

"Menerusi tangkapan ini kita juga berjaya menyelesaikan 11 kes pecah rumah dan curi motosikal di Melaka dan Negeri Sembilan, namun kita masih memburu tiga lagi ahli geng berkenaan," katanya pada sidang media di IPD Jasin di sini, hari ini.

Katanya, suspek direman tujuh hari berakhir 3 November ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 4:09 PM