ANTARA babak dalam filem Banting.
ANTARA babak dalam filem Banting.
ANTARA babak dalam filem Banting.
IZYAN Mellyna sebagai ahli gusti wanita bernama Yasmin.
RAIHAN (tiga dari kanan) tampil sisi positif sukan gusti.
Syanty Octavia Amry


Mungkin tidak pernah atau jarang filem Melayu mengangkat sukan gusti. Kelainan inilah cuba dicetus syarikat produksi Singapura iaitu Papahan Films yang tampil dengan filem berjudul Banting.

Apa yang pasti, judul ini sesuai dengan aksi lasak sukan gusti yang sering membanting lawannya.

Apa yang menarik, filem arahan M Raihan Halim dan lakonan Izyan Mellyna, Mastura Ahmad, Fauzie Laily, Osman Zailani dan Jimmy Taenaka ini ialah filem Melayu pertama Singapura diterbitkan selepas 40 tahun.

Selain itu, kelainan filem ini ialah menonjolkan sukan gusti yang turut diminati golongan wanita bertudung.

Banting cuba menonjolkan kepada masyarakat bahawa wanita bertudung juga berhak mempunyai minat terhadap sukan gusti yang banyak dimonopoli lelaki.

Raihan berkata, dia mengambil masa lima tahun untuk mencari sebuah karya menarik buat tontonan orang ramai.

“Selepas 40 tahun Singapura tidak ada filem Melayu, pastinya saya mahu menghasilkan sesuatu yang menarik.

“Apabila puas berfikir, kebetulan sukan gusti sudah menjadi antara sukan yang digemari masyarakat di Singapura dan saya yakin juga di Malaysia,” katanya.

Mungkin sesetengah orang beranggapan sukan gusti tidak sesuai untuk golongan wanita, namun tidak pada watak utama yang dijayakan Izyan sebagai Yasmin ini.

“Saya cuba menghasilkan filem mengenai sukan gusti dan kebetulan ia diminati seorang wanita yang bertudung.

“Saya yakin masyarakat sekarang lebih terbuka dan boleh menerima perubahan ini. Kebetulan pula saya juga salah seorang penggemar sukan gusti maka terhasillah filem ini,” katanya.

Raihan berkata, tidak sukar bekerjasama dengan Izyan dan juga pelakon lain ini kerana masing-masing banyak membantu dan berjaya menghayati karakter masing-masing.

“Ini adalah kisah kehidupan seorang individu dalam sebuah keluarga kecil yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain.

“Mempunyai sahabat setia juga antara fokus utama cerita ini di mana kita mahu menunjukkan semangat setia kawan tidak kira susah atau senang, sama ada kawan itu lelaki atau perempuan,” katanya.

Raihan berharap mereka yang menonton filem ini lebih memandang kepada sudut positif bahawa apa juga jenis sukan boleh dilakukan semua tidak kira sama ada lelaki atau perempuan.

“Tiada istilah wanita bertudung tidak boleh melakukan hobi yang suka dilakukan oleh wanita tidak bertudung.

“Sesiapa saja boleh melakukan apa yang mereka mahu yang penting ada kemahuan dan kesungguhan,” katanya.

Sinopsis

Yasmin dibesarkan dalam keluarga yang tegas dan selama 18 tahun dia terkongkong tanpa sebarang aktiviti hiburan.

Semuanya berubah apabila Yasmin mengambil peluang menyertai pasukan gusti profesional secara rahsia di sebuah gim gusti profesional.

Sejak itu, Yasmin mengubah kehidupannya dan membentuk ‘alter-ego’ yang dikenali sebagai Zarith Blade.

Namun demikian, menindas orang bukanlah apa yang dihajati oleh Yasmin dalam hidupnya. Dia menyimpan rahsia mengenai minatnya itu daripada ibunya, Halimah (lakonan Mastura Ahmad) atas sebab-sebab yang tertentu.

Pada Halimah seorang anak gadis Islam yang baik adalah bercanggah dengan cara kehidupan seorang ahli gusti profesional baik dari segi pemakaian yang sendat mahupun perlakuan bertinju di khalayak ramai.

Impian Yasmin untuk menjadi hebat di gelanggang tercapai apabila dia menjadi pujaan peminatnya dan mendapat penghormatan daripada jurulatihnya.

Namun begitu, keadaan berubah apabila identiti Yasmin terbongkar di hadapan ibunya sendiri.

Dalam pada itu, Yasmin akan berdepan dengan satu pertandingan yang paling penting dalam hidupnya sebagai peninju.

Dia perlu melakukan sesuatu bagi membuktikan apa yang ingin dilakukannya itu mendapat sokongan penuh daripada ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 11:53 AM