CHONG Wei kutip mata kedua negara.

Kuala Lumpur: Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Sudirman selepas menewaskan India 3-2 pada perlawanan kedua Kumpulan D di Dongguan, China semalam.

Mata kemenangan dan penyelamat skuad negara sekali lagi diperoleh menerusi gandingan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan Sikki Reddy-Arun Vishnu 21-14, 21-18 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Pada perlawanan pertama, selepas menewaskan beregu nombor satu dunia Lee Young Dae-YooYeon Seong kelmarin, Goh V Shem-Tan Wee Kiong terus cemerlang mengutip mata pertama untuk skuad negara dengan menewaskan Manu Attri-Sumeeth Reddy 22-21, 21-13.

Strategi Malaysia menyenaraikan perseorangan wanita utama Tee Jing Yi menggantikan Lim Yin Fun gagal membuahkan hasil selepas Jing Yi tewas mudah 22-24, 13-21 kepada Saina Nehwal.

Datuk Lee Chong Wei yang baru mendapat khabar gembira disenaraikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk ke Kejohanan Dunia di Jakarta, Ogos depan, kembali meletakkan skuad negara di depan selepas menewaskan K Srikanth 21-16, 21-15.

Malaysia berpeluang untuk mengesahkan kemenangan menerusi gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei, namun kedua-duanya gagal memenuhi tugas yang diberikan.

Bertemu Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa, Vivian-Khe Wei berjaya memberi saingan sengit sebelum tewas 18-21, 21-19, 15-21, namun Peng Soon-Liu Ying berjaya memburu mata kemenangan untuk skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 8:43 AM