nuansa

Papar pergolakan orang melayu

Oleh Aniza Zainudin

Interpretasi figura pasangan asing memegang alat pertanian yang berlatarkan struktur rumah tradisional Melayu dan awan larat diperincikan secara mendalam.

Itu antara Karya Malaysian Gothic dihasilkan Ismail Zain pada 1988 yang memberi gambaran bahawa mereka yang ingin menetap di negara ini seharusnya menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat tempatan, khususnya orang Melayu.

Rumah tradisional adalah simbolik negara Malaysia, manakala awan larat pula membayangkan gaya fikiran orang tempatan perlu dihayati ‘tetamu’.

Alat pertanian pula mencerminkan sektor asas tani yang menjadi latar sejarah negara, mungkin membawa kepada dua jalan sama ada digunakan untuk mencari rezeki atau ‘senjata makan tuan’ sekiranya bersikap berlebihan di tempat orang.

Pameran Penghormatan Ismail Zain: (Mem) Bayang Maksud ini berlangsung sejak 27 Ogos hingga 17 November ini menampilkan 77 karya seni anak watan Kedah ini.

Bagi menjayakan pameran karyawan prolifik ini, Balai Seni Negara turut bekerjasama dengan Fergana Art dan keluarga tokoh ini sendiri.

Kurator, M Jaafar Ismail berkata Ismail Zain adalah seniman dan karyawan yang sentiasa merendah diri, tidak pernah menganggap karya mahupun sumbangannya bersifat unik dan simbolik atau istimewa.

“Projek pameran Ismail ini terbahagi kepada tiga segmen pameran lukisan, digital kolaj dan video kegiatan beliau yang berjaya mempengaruhi beberapa nama besar untuk menggapai impian masing-masing seperti Datuk Faridah Merican, Datin Raja Fuziah Raja Tun Uda serta Elizabeth Cardosa.

“Berdasarkan karya dihasilkan pemikir ini, saya dapat melihat bahawa Ismail ingin berkongsi idea mengenai masyarakat di sekeliling terutama konflik dan pergolakan orang Melayu.

“Seperti karya Al-Kesah yang menggabungkan satu lukisan berlatarkan dua dunia, Melayu dan Amerika menerusi siri televisyen popular, Dallas.

“Simbolik Melayu dikongsikan melalui rumah tradisional yang dianggap satu tempat suci dan perkongsian kasih sayang, manakala siri Dallas pula memaparkan konflik keluarga serta nilai negatif seperti busuk hati selain tamak.

“Persoalan ingin diperkatakan, adakah Melayu berdepan dengan masalah kebudayaan apabila menyaksikan pengaruh luar yang menyusup masuk ke dalam kehidupan hingga membuatkan budaya asal menjadi ‘rojak’ ?” katanya ketika ditemui.

Memetik pemikiran Ismail, Jaafar berkata seniman adalah pemerhati kehidupan masyarakat dan hasilnya direkodkan menerusi arca, catan dan sebagainya demi mengajak atau melakukan provokasi terhadap orang untuk berfikir.

Seperti karya Kesah Wayang, Serah-serahkan, ia menunjukkan tok dalang dalam wayang kulit mempunyai kuasa jauh lebih besar berbanding pelakon mahupun penonton.

Terjemahan karya ini juga menunjukkan situasi yang berlaku dalam mana-mana sistem pemerintahan sesebuah organisasi mahupun kerajaan.

Menurut Jaafar, pameran ini adalah usaha untuk meng­galakkan seniman dan artis muda supaya berfikir dengan lebih mendalam serta sedar peranan digalas untuk menangani isu dan pergolakan masyarakat.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 11:40am
d