Hong Kong: Selepas genap sebulan protes prodemokrasi berlangsung di Hong Kong, pemimpin pelajar semalam menggesa rundingan langsung diadakan dengan pegawai Beijing dan ia gesaan pertama dibuat setakat ini.

Dalam perhimpunan di kem utama semalam, ribuan payung dikembangkan bagi memperingati detik permulaan tunjuk perasaan itu September lalu apabila polis melepaskan gas pemedih mata.

Protes berlangsung itu yang paling besar dibuat bagi mencabar Beijing sejak insiden berdarah Medan Tiananmen pada 1989.

Ketika penunjuk perasaan bergerak ke lokasi utama itu, Presiden Persekutuan Pelajar Hong Kong, Alex Chow berkata, dia akan cuba bertemu Perdana Menteri China, Li Keqiang jika Hong Kong gagal memenuhi tuntutan mereka.

“Kami benar-benar berharap pihak berkenaan boleh mengatur pertemuan secara langsung dengan perdana menteri secepat mungkin,” katanya.

Menjadi wilayah separa autonomi, Hong Kong dikenali sebagai hab kewangan Asia sebelum ia lumpuh akibat protes besar-besaran itu.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 8:41 PM