Sebelum Shah Rukh Khan, Aamir Khan, Salman Khan dan wajah-wajah hero baru, industri perfileman Bollywood terlebih dulu dikuasai keluarga Kapoor bermula dengan Raj Kapoor, Shammi Kapoor, Shashi Kapoor, Rishi Kapoor dan Randhir Kapoor.

Ini diikuti generasi kedua serta ketiga keluarga itu seperti Karisma Kapoor, Kareena Kapoor, Kunal Kapoor dan Ranbir Kapoor.

Kini keluarga seni itu menjadi sebahagian sejarah di Bollywood.

Lantas sebagai menghargai jasa mereka, baru-baru ini aktor legenda Shashi Kapoor, 77, dianugerahkan Anugerah Dadasaheb Phalke oleh Prithvi Theatre yang disampaikan Menteri Maklumat dan Penyiaran India, Arun Jaitley.

Bagaimanapun atas faktor kesihatan Shashi tidak dapat hadir ke majlis anugerah itu yang diadakan di New Delhi.

Rishi yang mewakili Shashi berkata, dia amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi anugerah setinggi itu kepada abangnya itu.

“Ini kali ketiga keluarga Kapoor menerima anugerah ini. Saya juga gembira kerana berpeluang berlakon filem dan bekerja di bawah arahannya,” katanya.

Sementara itu, menurut Amitabh Bachchan yang pernah berlakon dengan Shashi dalam filem Deewar, Kala Patthar dan Kabhi Kabhie, anugerah yang diterima Shashi itu amat bermakna baginya bersesuaian jasa yang dicurahkannya kepada industri filem Bollywood.

“Saya gembira berpeluang berlakon dengannya di mana dia seorang yang sangat mengambil berat, bersungguh-sungguh dan jujur dalam kerjayanya,” katanya.

Aktres Shabana Azmi yang turut hadir pada majlis anugerah itu berkata, Shashi adalah khazanah seni yang sewajarnya diberi penghargaan.

“Memberi anugerah setinggi itu kepadanya secara tidak langsung seolah-olah kerajaan mengiktiraf seluruh pelakon Bollywood.

“Shashi adalah ‘harta’ berharga di Bollywood kerana dia juga adalah pelakon pertama Bollywood dapat berlakon di Hollywood sekali gus membuktikan kehandalannya di layar perak,” katanya.

Ranbir, Karisma dan Kareena juga amat berbangga dengan pencapaian diterima datuk mereka.

Kata Karisma, sumbangan datuk mereka terhadap industri filem Bollywood terlalu banyak.

“Kami semua amat bangga dengannya dan selayaknya diberi anugerah itu. Dia bukan saja berlakon di Bollywood malah pernah menakluki Hollywood. Dia aktor India sejati dan pencetus sinema moden,” katanya.

Ahli keluarga Kapoor lain yang turut diundang ke majlis penganugerahan itu, Krishna Raj Kapoor iaitu isteri kepada mendiang Raj Kapoor, Neila Devi (isteri Shammi Kapoor), Neetu Kapoor, Babita, Kunal Kapoor dan Sanjana Kapoor (kedua-duanya anak Shashi Kapoor).

Antara filem popular Shashi ialah Aag, Aawara, Samadhi, Dharamputra, Jab Jab Phool Khile, Pyaar Kiye Jaa,Kanyadaan, Pyaar Ka Mausam, Trishul, Namak Halaa, Junoon dan Utsav.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 11:48 AM