WAN Midin dan Nisah, tokoh makyung dari Pasir Mas, Kelantan.
MAKYUNG ada kelebihan tersendiri.
Oleh Abie Abdullah


Tikar mengkuang dibentang, duduk anak-beranak. Keropok lekor pula antara ‘makanan ringan’ sambil mata menikmati permainan makyung di tengah padang. Kiri kanan penjuru gelanggang pula orang berjualan termasuk kacang rebus dan etak dengan hanya bernyalakan pelita!

Situasi ini sukar dilihat sekarang, malah di kampung juga mungkin sudah berubah. Namun ‘elemen sampingan’ ini cuba dikembalikan oleh Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) di bawah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) apabila membuka panggung Main Makyung bertempat di Dataran ASWARA pada jam 8.30 malam esok.

Persembahan yang akan diterajui oleh tokoh makyung dari Pasir Mas, Kelantan, Wan Midin Wan Hamid dan isterinya, Nisah Mamat ini adalah persembahan pembukaan bagi program siri Gema Seni Tradisional.

Menurut Rektor ASWARA, Dr Hatta Azad Khan, kesenian tradisi adalah warisan dan PuTRA akan melaksanakan konsep pembelajaran secara berguru daripada mereka yang ahli atau pakar dalam setiap bidang.

“Kita mahu mewujudkan semula ikatan akal, budi dan seni itu dengan memberikan penghormatan kepada guru-guru yang mengajar, mendidik dan mengasuh pelajarnya supaya menjadi golongan pelapis yang berilmu dan boleh menjadi pengamal yang sama hebatnya dengan guru,” katanya.

Sebagai sebuah jabatan di bawah ASWARA yang menumpukan kepada usaha pendidikan dan pelestarian kesenian tradisional, PuTRA merangka beberapa aktiviti yang termasuk kursus sijil jangka pendek, sijil kemahiran dan beberapa program seperti bengkel seni tradisi, produksi persembahan dan program berbentuk wacana.

Gema Seni Tradisional sebuah produksi persembahan yang bermatlamat untuk membawa kesenian tradisional dari daerah asalnya kepada khalayak di Kuala Lumpur.

Menurutnya, ia juga untuk mendekatkan masyarakat kontemporari kepada ciri dan bentuk sebenar sesebuah kesenian. Siri ini akan diisi dengan dua acara iaitu persembahan dan apresiasi tokoh di mana, para pensyarah ASWARA dan pelajar ASWARA akan berpeluang berkolaborasi bersama tokoh dan mengutip ilmu dan pengalaman.

Tajuk persembahan Main Makyung yang terbuka kepada orang ramai secara percuma ini diambil sesuai dengan ungkapan asal bagi orang-orang di Kelantan.

Dalam kalangan masyarakat tradisional, melakukan sesuatu aktiviti yang mengisi masa lapang seperti permainan tradisi apatah lagi persembahan hiburan disebut sebagai ‘main’. Main Makyung adalah satu persembahan yang diangkat daripada panggung tradisional kepada masyarakat kontemporari tetapi masih mengekalkan bentuk asal tradisinya.

Esok, Main Makyung akan dipersembahkan secara sederhana tidak seperti mana persembahan makyung di pentas-pentas berprestij yang kebiasaannya berbentuk proscenium. Tiada pertukaran set, penataan cahaya yang gah atau pergerakan pentas sebaliknya ia kembali kepada asas permainan makyung di kampung-kampung.

Ketua Program PuTRA, Nik Mustapha Nik Salleh berkata, apa yang menjadi keutamaan PuTRA adalah menghidangkan sebuah kesenian yang masih mengangkat roh dan jiwa kesenian itu.

“Makyung boleh berdiri sebagai alat hiburan dan platform untuk pemulihan semangat. Atas sifat tradisinya yang bercirikan ritual maka bermain makyung adalah satu persembahan yang punya tertib tertentu yang perlu dipelihara.

“Hal ini juga satu usaha menyahut pengiktirafan makyung oleh UNESCO sebagai ‘a Masterpiece of the Oral and Intagible Heritage of Humanity’.

“Dalam hal ini, makyung bukan sekadar sebuah persembahan yang perlu dilestarikan dari segi struktur, gerak, muzik dan kelengkapan persembahan sahaja tetapi juga perlu melestarikan keindahan sastera dan pengucapannya. PuTRA cuba membawa kembali permainan makyung dengan ketinggian estetikanya,” katanya.

Justeru itu, Nik Mustapha menyatakan sesebuah kesenian itu perlu diajar dan dipelajari dengan cara yang sewajarnya seperti mana pepatah Melayu yang menyebut ‘alam terbentang menjadi guru’ adalah satu ungkapan yang lahir setelah manusia menghasilkan karya-karya berasaskan pengamatan­nya kepada alam lalu lahirlah istilah awan larat, tenunan, ragam gerak, anyaman, ­bunyi-bunyian dan motif-motif seni yang lain.

“Istilah itu mencerminkan hubungan intim antara manusia dan alam. Dalam pengucapan makyung ada menyebut ‘seperti sulur ­bermain angin’ adalah satu idea mimesis yang menyumbang kepada ragam gerak dalam tarian Mengadap Rebab.

“Dalam hal mempelajari seni tradisi, makna ‘adab berguru dan pengilmuan tradisi’ menjadi elemen terpenting untuk keperluan pendidikan, seseorang itu perlu menyingkap makna dan falsafah di sebalik setiap perkataan yang diucapkan dan bagaimanakah perkataan itu disusun menjadi ayat.

“Inilah yang disebut menguasai ilmu yang mana seseorang itu mengetahui apa yang diketahui, hadir daripada seorang tokoh yang bertokoh,” katanya.

Selain Wan Midin dan Nisah Mamat, PuTRA turut menjemput Che Mat Jusoh, seorang tenaga pengajar di Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia. Che Mat adalah tokoh penting di dalam seni persembahan tradisional khususnya kesenian Kelantan.

Kepakaran Che Mat bukan sahaja dalam permainan rebab dan muzik Kelantan tetapi juga guru alat muzik akordian. Che Mat aktif menulis mengenai sejarah seni budaya Kelantan di mana tulisannya disiarkan di dalam majalah Pentas terbitan Istana Budaya.

Kini Che Mat giat menggerakkan aktiviti pelestarian makyung dan kesenian Kelantan yang lain dengan membimbing generasi muda yang terlatih dari ASWARA, USM dan beberapa persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 12:18 PM