SHAMSIAH (kanan) dan dua pelajar yang berjaya menghasilkan hibrid stevia melalui pendebungaan dengan kelulut (spesies trigona).
SHAMSIAH (kanan) dan dua pelajar yang berjaya menghasilkan hibrid stevia melalui pendebungaan dengan kelulut (spesies trigona).
Oleh Mohamad Hussin

Pokok stevia adalah sumber pemanis semula jadi dan menyihatkan kerana tidak mengandungi kalori. Pemanis semula jadi itu lebih manis sehingga 350 kali berbanding gula biasa.

Pokok berasal dari Paraguay itu pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada 1970-an.

Pokok stevia boleh tumbuh di negara ini namun beberapa kajian mendapati stevia di negara ini kurang berkualiti kerana cepat berbunga selain perlu dituai lebih awal.

Di Malaysia juga, ia membesar dengan ketinggian kurang dari satu meter berbanding di negara empat musim yang keting­giannya mencecah tiga meter.

Setakat ini, pengeluaran benih stevia melalui biji bukan pilihan yang baik di negara ini tapi penggunaan keratan sebagai bahan tanaman menunjukkan kejayaan memberangsangkan namun kualiti stevia adalah rendah.

Justeru, sekumpulan penyelidik diketuai Timbalan Dekan (Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni) Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Mohamad Osman menghasilkan hibrid stevia melalui pendebungaan dengan kelulut (spesies trigona).

Beliau dibantu dua pensyarah, Dr Shamsiah Abdullah dan Lyena Watty Zuraine Ahmad serta dua pelajar pasca siswazah Mohd Farit Abd Hamed serta Amanina Arshad menjalankan program pembiak bakaan stevia lebih berkesan.

“Kita menghasilkan tiga inovasi iaitu pendebungaan menggunakan spesies trigona untuk menghasilkan hibrid stevia dan variasi genetik daripada induk-induk terpilih.

“Rawatan sinaran cahaya merah untuk meningkatkan kadar percambahan biji benih stevia.

“Inovasi ketiga ialah teknik penanda molekul untuk mengenal pasti induk jantan dan induk betina yang menghasilkan hibrid stevia.

“Pembiak bakaan stevia melalui penghibridan konvensional dan pemilihan adalah sangat sukar dan tidak praktikal, tambahan pula secara semula jadi biji benih stevia mempunyai kadar percambahan yang sangat rendah iaitu satu peratus.

“Inovasi yang dihasilkan daripada penyelidikan ini memberikan peluang baru untuk membangunkan program pembiak bakaan yang efektif untuk stevia,” katanya yang ditemui pada Ekspo Reka Cipta, Inovasi dan Reka Bentuk 2015 (IIDEX 15) di UiTM Shah Alam, minggu lalu.

Menurutnya, kejayaan menghasilkan hibrid stevia menggunakan tiga inovasi bersepadu itu boleh dianggap yang pertama dilaporkan di dunia.

“Hibrid stevia mempunyai potensi meningkatkan pengeluaran stevia tempatan dalam usaha perniagaan yang berdaya maju dari segi ekonomi.

“Inovasi ini membolehkan kami untuk menjalankan program pembiak bakaan stevia yang berkesan dan untuk membangunkan varieti yang lebih baik sesuai untuk pengeluaran stevia dalam keadaan persekitaran kita.

“Program pembiak bakaan yang efektif diperlukan untuk membiak baka jenis atau varieti yang mempunyai ciri-ciri yang lebih baik, khususnya ciri genetik yang boleh menghalang pembungaan awal. Bagaimanapun, penghibridan atau kacukan secara manual amat sukar dilakukan,” katanya.

Mohamad berkata, penghibridan melalui pendebungaan oleh spesies trigona berjaya dibuktikan dalam penyelidikan itu.

“Ia kejayaan penting dan inovasi ini membolehkan kita menghasilkan hibrid stevia atau variasi genetik dalam proses pembiak bakaan untuk meningkatkan produktiviti stevia dari segi hasil daun dan kandungan pemanis,” katanya.

Kejayaan penyelidik berkenaan mendorong mereka menerima anugerah pingat gangsa dalam Anugerah Kecemerlangan Perhubungan Industri dan Masyarakat (AKPIM 2014) dan Anugerah Cabaran Inovasi Pertanian Malaysia (MAGIC 2014).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 12:22 PM