Dua beranak maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Salak-Sepang, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Dua beranak maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Salak-Sepang, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Sepang: Dua beranak maut dalam kemalangan di laluan Bandar Enstek ke Bagan Lalang, Jalan Salak-Sepang, 7.15 pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Norhalina Ahmad, 47, yang juga guru dan anak lelakinya Al-Akmal Hafiy Darwisy Kadapi, 19.

Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Sumber berkata, kemalangan berlaku apabila Toyota Avanza dipandu Al-Akmal mengelak Perodua Viva dari arah bertentangan yang memasuki laluannya.

Katanya, Toyota Avanza itu kemudian merempuh lori tangki dari arah bertentangan.

"Pemandu dan penumpang Toyota Avanza tersepit dalam kenderaan mereka dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu Perodua Viva berusia 34 tahun cedera, manakala pemandu lori tangki berusia 41 tahun tidak cedera," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 2:30 PM