ORANG ramai menunggu di kawasan lapang selepas gempa bumi melanda Nepal. FOTO EPA
ORANG ramai menunggu di kawasan lapang selepas gempa bumi melanda Nepal. FOTO EPA
Oleh Yusri Abdul Malek di Nepal


Kathmandu : Bumi Nepal bergegar kembali selepas gempa bumi sebanyak tiga kali dalam selang beberapa minit dengan gegaran paling kuat bermagnitud 7.3 pada 12.35 tengah hari (3.50 petang waktu Malaysia).

Gegaran kuat yang dirasai selama beberapa minit itu difahamkan berpunca 76 kilometer timur Kathmandu dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di bandar Kathmandu.

Wartawan Harian Metro yang berada di Jalan Thamel turut merasai gegaran berkenaan dan keadaan menjadi kelam kabut malah ada penduduk yang mula menangis ketakutan.

Ribuan penduduk panik dan berlari tanpa arah bagaimanapun wartawan yang bersama doktor misi, Dr Lee dan wartawan Astro Awani selamat berikutan berada di luar bangunan hotel.

Seorang penduduk tempatan memaklumkan kejadian berkenaan sama seperti gempa bumi yang berlaku pada 25 April lalu yang menyebabkan lebih 8,000 orang terkorban dan kini orang ramai berkumpul di atas jalan raya sementara menunggu arahan seterusnya daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, Reuters melaporkan bahawa empat orang terkorban di daerah Sindhupalchowk di utara Kathmandu selepas beberapa bangunan runtuh akibat gempa bumi terbaru itu.

Selain itu, 12 orang dilaporkan cedera di Sindhupalchowk, setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 5:24 PM