ANTARA aksi spontan Adam apabila berhadapan dengan kamera.
ANTARA aksi spontan Adam apabila berhadapan dengan kamera.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Gaya spontan si kecil ini berjaya menarik perhatian ramai. Tambah mengagumkan apabila kanak-kanak berusia lima tahun ini bijak memberikan gaya bak model berpengalaman setiap kali lensa kamera mula dipetik.

Setiap gayanya dilihat begitu menghiburkan mata memandang. Disiapkan penuh gaya kemas dan rambut disisir rapi bersama kaca mata hitam, langkah Nik Mohd Adam Mikael atau mesra disapa Adam ini berjaya mencuri perhatian sesiapa saja yang melihat.

Tidak hairanlah jika setiap lentuk badan dan gaya yang dimuat naik ke dalam Instagram miliknya, @nikadammika pernah meraih 1,500 ‘like’ daripada peminat.

Malah, tidak keterlaluan jika ada yang menggelar Adam sebagai ikon fesyen kanak-kanak dan menjadi inspirasi kepada kebanyakan si kecil yang gemar bergaya seperti Adam.

Berkesempatan melihat sendiri kelincahan Adam memberikan pelbagai gaya menarik di hadapan kamera, hati penulis berasa kagum. Manakan tidak, walaupun Adam perlu diberi tunjuk ajar bapanya untuk bergaya menarik, si kecil ini tetap memberi idea sendiri mengenai rakaman gambarnya yang disukai.

Bapanya, Nik Mohd Adli Nik Azlan, 30, berkata, Adam sudah didedahkan dengan dunia model dan fesyen di Instagram sejak usianya empat tahun.

“Pada 2014, Adam disunting untuk menjadi model bagi menggayakan baju kanak-kanak. Ketika itu, bakatnya dilihat oleh selebriti terkenal tanah air semasa bertemu di kedai rambut.

“Saya rasakan tidak salah untuk Adam mencuba apabila diberi peluang. Lebih menarik apabila jenama yang mahu diperkenalkan selebriti berkenaan banyak menampilkan koleksi baju kanak-kanak ala dewasa yang sangat sesuai dengan Adam.

“Kebetulan saya memang suka melihat kanak-kanak yang bergaya ala dewasa dan tidak salah saya katakan ia bersesuaian dengan watak Adam yang periang serta aktif,” katanya.

Selepas percubaan pertama menjadi model fesyen, banyak tawaran mula diterima sehingga Adam memerlukan pengurus untuk aktivitinya sebagai model cilik.

Memang tidak dinafikan ada kata-kata negatif daripada sesetengah masyarakat mengenai keputusannya mendedahkan Adam dalam dunia popular terlalu awal.

Namun, sebagai ayah dia tahu peranan dan tang­gungjawab untuk mengawal setiap pergerakan atau tawaran yang diterima bagi mengelakkan perkara negatif yang diperkatakan itu berlaku kepada Adam.

Baginya, tidak salah jika bidang berkenaan dijadikan sebagai aktiviti sampingan dan separuh masa kerana dari sudut positif, ada kebaikan tersirat yang boleh diterap dalam diri Adam.

“Biarpun Adam didedahkan dengan dunia glamor sebagai model ketika usianya masih kecil, saya tetap memastikan Adam bebas daripada sebarang perkara negatif yang mungkin akan berlaku pada dirinya kelak.

“Pada pendapat saya, fesyen boleh membantu meningkatkan jati diri individu itu sendiri selain mendidik mereka berkomunikasi dengan baik dan mudah bergaul dengan pelbagai peringkat usia.

“Apabila individu itu bijak berfesyen dan memilih gaya sesuai dengan penampilan diri, ia akan meningkatkan tahap keyakinan yang dimiliki dan secara tidak langsung mendorong untuk berjaya di dalam cabang pekerjaan yang diceburi,” katanya.

Setiap cabang pekerjaan dan pergaulan sesama manusia termasuk keluarga juga memerlukan kemahiran berkomunikasi yang baik. Justeru, bidang ini mampu mendidik Adam berkomunikasi dengan baik dan lebih yakin.

Bergelar pensyarah undang-undang, dia sendiri berasa selesa berhadapan dan berkomunikasi dengan individu yang memiliki penampilan diri yang kemas serta bersih.

Biarpun ada kalanya kesan negatif menerjah di fikiran Nik Mohd Adli yang akan mempengaruhi anak sulungnya pada masa akan datang, dia berusaha serta sentiasa menjalankan amanah mendidik Adam agar bijak membezakan perkara yang baik dan buruk.

Ujarnya, lebih mudah jika dia mendidik Adam sejak kecil dari segi pemilihan gaya sesuai mengikut keselesaan diri sendiri untuk kebaikannya pada masa akan datang.

Pada masa sama, Nik Mohd Adli tetap mendidik Adam untuk bergaya sesuai dengan tempat, keadaan atau majlis yang dihadiri bagi menghormati tuan rumah ataupun tetamu yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:03 AM