ZUL berjaya membawakan watak dengan baik.
AWANG Kudis Buta (tengah) membantu pengiring Puteri Cempaka Sari mendapatkan kulat hitam.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Resipi menggabungkan unsur moden dan tradisi ternyata menjadi apabila pementasan bangsawan Awang Kudis Buta di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 8 hingga 10 Mei lalu mendapat sambutan hangat.

Hampir setiap malam, lokasi ini dipenuhi penonton yang ingin menyaksikan teater arahan Nazri Ahmad membariskan pelakon seperti Zul Handy Black, Yaya Maembong, Shahriza Mahmud, Azerai Azmi, Cicik Raja Lawak dan ramai lagi.

Naskhah hasil idea Miyana Arshad ini masih tampil dengan teras utama bangsawan iaitu cerita berkaitan raja serta mempunyai tertib tersendiri dalam gaya bahasa serta tutur percakapan yang lembut dan teratur.

Berbekalkan garis panduan yang diberikan Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN), persembahan daripada Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini disuntik beberapa elemen baru mengikut peredaran zaman bagi menarik minat generasi muda untuk menonton.

Nazri mengambil langkah bijak menampilkan Zul sebagai pelakon kerana dia mempunyai kebolehan menyanyi.

Sebagai pemegang watak Awang Kudis Buta, Zul perlu menyanyi beberapa lagu yang diiringi pemuzik Band Kelab Kilat TNB.

Zul ternyata mampu membawa wataknya dengan baik. Biarpun pertama kali berlakon teater, dia langsung tidak nampak janggal beraksi. Bahkan Zul juga bersilat seperti biasa dalam babak pertarungan sekali gus melupakan kecederaan di kaki yang berlaku ketika sesi latihan.

Bergandingan dengannya ialah Shahriza yang melakonkan watak Nenek Kebayan dan Yaya yang memegang watak Puteri Cempaka Sari.

Turut membantu ialah beberapa pelakon daripada Persatuan Teater Kuala Lumpur dan Selangor serta pelajar Sekolah Seni Malaysia.

Bagi menghidupkan set rekaan pentas, Nazri sanggup berhabisan menyediakan skrin LED sebagai latar belakang.

Sedikit sebanyak idea ini membantu menghidupkan lagi persembahan yang ditampilkan.

Awang Kudis Buta mengisahkan pemuda bernama Awang yang mempunyai penyakit kudis buta yang tinggal dengan Nenek Kebayan.

Suatu hari dia diminta Nenek Kebayan untuk menghantar ramuan memikat Puteri Cempaka Sari kepada Mambang Jelik Mata.

Dalam perjalanannya dia berdepan pelbagai halangan daripada Penunggu Gunung Melapo. Halangan ketiga menyebabkan ramuan itu tertumpah dan terkena kulitnya membuatkan tubuhnya sembuh.

Keseluruhannya, Awang Kudis Buta berjaya menghiburkan penonton yang hadir. Mereka menerima naskhah ini sebagai satu hiburan santai seperti yang dinikmati oleh generasi terdahulu.

Zul seronok berlakon teater

Zul yang ditemui melahirkan perasaan seronok kerana berpeluang menimba pengalaman di pentas teater.

“Saya gembira kerana berjaya galas tanggungjawab yang diberikan. Kepuasan membintangi teater sukar digambarkan dengan kata-kata. Tak dinafikan saya ada juga buat penambahan ayat dalam beberapa dialog tapi nampaknya penonton suka dan boleh terima.

“Mereka ‘sporting’ ketika menonton. Apapun setiap pelakon perlu mengawal keadaan agar tak lari daripada jalan cerita sebenar,” katanya.

Biarpun ada beberapa kelemahan, Nazri pula mengakui berpuas hati dengan lakonan barisan pelakonnya.

“Cerita ini menampilkan mesej kasih sayang yang ditunjukkan menerusi sikap ikhlas Nenek Kebayan yang sudi memelihara Awang Kudis Buta biarpun bukan berasal daripada darah dagingnya.

“Juga keikhlasan Awang Kudis Buta yang membantu dalam proses pengubatan Puteri Cempaka Sari hingga akhirnya berkahwin dengan puteri itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:06 AM