Oleh Michelle Gun


Nama David Foster cukup gah dalam industri muzik antarabangsa berikutan kolaborasinya dengan ramai penyanyi hebat seperti Rod Stewart, Celine Dion, Chicago, Michael Buble, Whitney Housten dan Josh Groban.

Pada usia emas 65 tahun, penerbit album, komposer dan pemuzik itu sudah meraih 16 Anugerah Grammy sepanjang 40 tahun bergelar sebagai anak seni.

Bagi Foster, mencapai kejayaan besar bukan mustahil asalkan tabah dan sabar menghadapi apa jua cabaran yang datang.

“Pada sekitar lewat tahun 1960-an, seorang rakan menasihati saya supaya jangan berputus asa sekiranya berdepan rintangan atau gagal dalam kerjaya, sebaliknya berusaha mencari jalan penyelesaian.

“Nasihat itu sangat berguna dan ia menjadi rahsia kepada kejayaan saya pada hari ini,” katanya dalam sidang media konsert jelajah Asia Hitman David Foster and Friends, kelmarin.

Biarpun sudah empat dekad dalam bidang muzik, Foster terus aktif dalam kerjaya seninya dan baru-baru ini berkolaborasi dengan penyanyi popular Ariana Grande dan Jessie J.

“Zaman sudah berubah dan cita rasa pendengar sudah berubah namun saya tidak takut dengan penyanyi generasi baru. Saya juga bukan jenis yang suka merungut dan tidak berbuat apa-apa sebalik–nya mencari bahan yang boleh bertahan untuk tempoh yang lama,” katanya.

Menceritakan lanjut mengenai kejayaannya, Foster berkata, dia menjadikan The Beatles sebagai inspirasi untuk terus melangkah ke hadapan.

“Walaupun The Beatles hanya bertahan selama lapan tahun, namun muzik dan pencapaian mereka dalam industri muzik amat mengagumkan.

“Sehingga hari ini, lagu mereka masih seronok didengar dan membuatkan saya mengimbau kembali zaman kanak-kanak,” katanya.

Katanya, setiap orang perlu bijak dalam memastikan kerjaya mereka dapat bertahan untuk tempoh yang lama.

“Anda perlu sentiasa berusaha untuk terus bergerak ke hadapan agar dapat berada di kedudukan tinggi,” katanya.

Tidak makan pedas

Kali kelima mengadakan persembahan di Malaysia, Foster berkata, budaya dan sikap penduduk tempatan yang sentiasa bersopan-santun membuatkan dia tidak jemu untuk kembali menemui peminatnya.

“Mengenai makanan pula, saya mengakui bukan jenis yang suka mencuba pelbagai jenis hidangan lebih-lebih lagi masakan pedas.

“Ini kerana saya sudah biasa dengan makanan ringkas sejak kecil dan ibu juga tidak meletakkan garam dalam masakan,” katanya.

Tambah pemuzik itu lagi, berbeza dengan Amerika Syarikat, Malaysia unik kerana mempunyai tempat sejarah yang menarik.

Foster akan kembali ke negara ini untuk mengadakan konsert bersama kumpulan Boyz ll Men, Ruben Studdard, Peter Cetera, Natalie Cole dan Jackie Evancho pada 14 Ogos ini.

Bertempatkan di Arena of Stars, Genting Highlands, konsert itu juga bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Resorts World Genting.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:07 AM