Holthusen bersama minyak pelincir Petronas Syntium Cooltech yang baru dilancarkan Mac lalu.
Holthusen bersama minyak pelincir Petronas Syntium Cooltech yang baru dilancarkan Mac lalu.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Petronas Lubricants International Sdn Bhd (Petronas Lubricants) menyasarkan untuk menjadi peneraju pasaran segmen minyak pelincir di Malaysia dalam lima tahun akan datang bersandarkan kepada kedudukannya ketika ini yang berada di tempat kedua dan menguasai pasaran 27 peratus.

Bagi mencapai sasaran itu, syarikat menyusun strategi bagi meningkatkan pengeluaran kapasiti, meneroka pasaran baru serta mengutamakan pengenalan produk berkualiti dari masa ke semasa.

Ketua Pegawai Operasinya, Eric G Holhusen berkata, Petronas Lubricants memperkenalkan teknologi terbaru dalam Petronas Syntium iaitu Cooltech yang mempunyai ciri menyejukkan enjin kenderaan dan mengekalkan prestasi optimum bagi pemanduan tanpa gangguan.

Beliau berkata, pengenalan produk itu membantu syarikat untuk menjual 1.6 bilion liter minyak pelincir dalam lima tahun akan datang berbanding 800 juta liter yang terjual pada tahun lalu bagi pasaran dunia.

“Malaysia menjadi pasaran penting bagi Petronas Lubricants dan ia antara penyumbang terbesar jualan di kalangan 80 pasaran sedia ada kami serta disokong oleh pasaran China yang berkembang walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi dunia.

“Untuk meningkatkan penjualan di peringkat global, syarikat berhasrat untuk meneroka enam pasaran baru antaranya Colombia, Peru, Chile, Amerika Selatan dan Pakistan memandangkan negara ini mempunyai potensi besar dalam pasaran minyak pelincir,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Petronas Syntium berteknologi Cooltech yang dihasilkan di Itali diperkenalkan di pasaran tempatan pada Mac lalu dan sedia dijual pada Mei ini dan ia mengambil masa antara satu hingga dua tahun bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan.

Eric berkata, ketika ini Petronas Lubricants mempunyai lapan kilang pengeluaran minyak pelincir di Malaysia, Argentina, China, Itali, Brazil dan Belgium bagi memenuhi permintaan 80 pasaran sedia ada di seluruh dunia.

Katanya, syarikat juga dalam perbincangan di peringkat akhir untuk menyuntik pelaburan baru di India bertujuan membuka kilang pengeluaran minyak pelincir dan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:09 AM