ANGGOTA tentera Nepal dan pasukan penyelamat antarabangsa memeriksa bangunan yang runtuh selepas gempa bumi semalam.
PELAJAR kolej di utara India menjawab soalan peperiksaan di padang selepas gempa bumi di Nepal yang turut dirasai di negara itu.
SEORANG pemuda mendukung lelaki tidak dikenalinya yang cedera selepas terjatuh ketika lari keluar dari Hospital Siliguri yang turut merasai gegaran gempa bumi di Nepal.
Agensi

Kathmandu: Sekurang-kurangnya 36 terbunuh dan 981 cedera dalam gempa bumi besar kedua melanda Nepal dalam tempoh kurang sebulan, tengah hari semalam.

Gempa dengan magnitud 7.3 itu melanda tidak sampai tiga minggu selepas gegaran 7.8 membunuh lebih 8,000 orang dan merosakkan ratusan ribu kediaman di Nepal.

Penduduk bertempiaran menyelamatkan diri apabila gempa bumi itu melanda kira-kira jam 12.35 petang (waktu tempatan) pada kedudukan 76 kilometer di timur Kathmandu.

Gegaran kali ini turut dirasai di New Delhi, utara India dan Bangladesh selain mengakibatkan bangunan runtuh di Tibet.

Bandar lain di utara India turut merasa gegaran dan rakaman berita menunjukkan penduduk di Bihar berhimpun di jalan raya.

Sementara itu pegawai di China dikenali sebagai Chen mengesahkan ada rumah yang rosak akibat gegaran.

Media China melaporkan seorang maut selepas keretanya dihempap batu akibat gegaran.

Gempa susulan dengan magnitud 6.3 turut dirasai setengah jam kemudian diikuti beberapa lagi gegaran kecil.

17 di negeri India yang bersempadan dengan Nepal - seorang di Uttar Pradesh dan empat di Bihar.

Penduduk Kathmandu Suresh Sharma, 63, berkata dia sedang membeli sayur ketika gempa melanda.

“Kami semua merasakannya dan bertempiaran melarikan diri. Memang menakutkan dan sukar untuk keluar dari kawasan pasar kerana keadaan terlalu kelam-kabut.

“Ketika gempa bumi terakhir saya sempat lari keluar dari rumah dan nyaris terbunuh. Saya tidak percaya sekali lagi merasai pengalaman menakutkan ini,” katanya.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan - lokasi utama pesawat masuk membawa bantuan antarabangsa sejak gempa bumi pertama, bulan lalu - ditutup sekali lagi semalam sebagai langkah berjaga-jaga.

Di hospital utama Kathmandu, pesakit yang cedera dalam kejadian gempa bulan lalu dibawa keluar menggunakan kerusi roda.

Orang ramai juga dilihat menelefon ahli keluarga manakala pekerja perubatan membina khemah di ruang letak kereta.

Bunyi hon kereta memenuhi ruang udara apabila orang ramai bergegas pulang untuk memastikan keluarga selamat.

Pemilik kedai Pramita Tamrakar yang baru membuka semula perniagaan keluarganya berkata, dia terus lari keluar selepas sempat mencapai tangan dua anaknya berusia lapan dan 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:14 AM