PEMAIN Johor DT meraikan jaringan Figueroa (baring).
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) melangkah ke pusingan kedua penuh bergaya selaku juara Kumpulan F selepas menewaskan Balestier Khalsa FC 3-0 pada saingan Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Bagaimanapun skuad Harimau Selatan itu terpaksa berhempas pulas untuk memastikan kemenangan dan kejayaan itu juga cukup bermakna buat ketua jurulatih Mario Gomez yang mencipta rekod peribadi tersendiri selepas membawa South China FC ke pusingan itu dan kini giliran Johor DT untuk ke saingan kalah mati.

Sebaik aksi babak pertama bermula, tuan rumah menunjukkan kegarangan apabila mengasak kubu pelawat dan pada minit kelima, S Chanturu yang berjaya menyusup masuk ke dalam kotak penalti merembat bola lemah mudah buat penjaga gol, Zaiful Nizam Abdullah menangkap bola

Selepas 18 minit, giliran pelawat mencemaskan pintu gol tuan rumah apabila bola sepakan percuma sekadar sipi ketika penjaga gol Farizal Marlias tidak berada di posisi terbaik untuk menepis bola.

Tiada aksi menarik dan berbahaya dijelmakan tuan rumah hingga berakhir babak pertama dengan gerakan dan umpanan yang dilakukan sering tersekat malah mudah dipatahkan pertahanan lawan.

Bersambung babak kedua, perubahan takikal Gomez apabila memasukkan Nazrin Nawi dan Safee Sali menggantikan Hariss Harun dan Chanturu menguatkan jentera serangan.

Sedar tuan rumah lebih menguasai permainan, Balestier Khalsa FC mula ‘berkampung’ di kawasan sendiri menyebabkan pemain Johor DT bagaikan mati akal untuk menyusun strategi merobek gawang pelawat.

Walaupun berterusan mengasak kubu lawan menerusi gerakan di sayap kiri dan kanan, hantaran lintang dilakukan S Kunanlan mahupun Nazrin tidak tepat kepada Luciano Figueroa atau Safee yang sedia menanti dalam kotak penalti.

Penantian tuan rumah akhirnya terlerai pada minit ke-76 selepas bola sepakan percuma Nazrin tepat kepada Safee yang merembat kencang menewaskan Zaiful Nizam.

Dengan baki lima minit, tuan rumah menambah gol kedua berpunca daripada gerakan pemain gantian Mahali Jasuli mengumpan tepat kepada Safiq yang bertindak pantas merembat bola menerjah jaring.

Johor DT melengkapkan kemenangan selesa dengan gol ketiga hasil sepakan percuma Figueroa yang terkena pemain pertahanan lawan menyebabkan Zaiful Nizam terkeliru dan hanya melihat bola masuk ke gawang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 6:14 AM