MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham


Dungun: Penuntut lelaki Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar penghadang jalan di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dekat susur keluar Kuala Dungun, di sini, 3 petang tadi.

Akibat kemalangan itu, mangsa, Muhammad Imran Johari, 21, yang menyertai kursus Kejuruteraan Paip, parah di kepala dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan yang menyebabkannya tercampak kira-kira lima meter dari tempat kejadian.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari ABM untuk pulang ke rumahnya di Jalan Batu 49, di sini.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 7:08 PM