X
PENGGEMAR hidangan tradisional Pahang nyata tidak kecewa dengan apa yang dihidangkan di Restoran Sedap Weh.
PENGGEMAR hidangan tradisional Pahang nyata tidak kecewa dengan apa yang dihidangkan di Restoran Sedap Weh.
IKAN patin masak tempoyak menjadi pilihan pelanggan Restoran Sedap Weh.
IKAN patin masak tempoyak menjadi pilihan pelanggan Restoran Sedap Weh.
Teks dan gambar oleh Ainal Marhaton Abd Ghani


Jika tercari-cari sajian tradisional Pahang, apa kata singgah di Restoran Sedap Weh di Jalan Pintasan Bukit Rangin-Kampung Pandan, Kuantan.

Di sini, anda boleh menikmati ikan patin masak tempoyak, pais patin tempoyak, daging salai masak lemak cili api, daging salai masak kicap, kerabu jantung pisang dan udang galah masak merah.

Restoran dibuka enam hari seminggu kecuali Jumaat itu menyajikan 40 hidangan masakan Melayu.

Menurut pemiliknya, Wan Zawawi Wan Hassan, restoran itu menjadi tumpuan ramai untuk menikmati hidangan tengah hari.

Dia memilih warna hijau sebagai melatari restorannya berkata, penggemar masakan ikan patin dan daging salai sentiasa bertumpu ke premis itu untuk makan tengah hari.

“Saya tidak menyediakan sarapan pagi kerana lauk-pauk disediakan lebih sesuai untuk makan tengah hari terutama dalam kalangan kakitangan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, setiap minggu sebanyak 500 kilogram (kg) ikan patin, 120 kg daging salai, 60kg daging kambing dan 60 ayam kampung disediakan bagi menampung permintaan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, pelanggan tidak perlu risau kerana harga yang dikenakan berpatutan.

Harga dikenakan tidak terlalu mahal seperti ikan keli berlada dan ikan keli percik dijual pada harga RM4 seekor, patin masak tempoyak (RM6), ayam kampung (RM7), pais patin tempoyak (RM7) dan kari kambing (RM6).

Mengenai hidangan ber­asaskan daging salai, kata­nya daging itu akan disalai dulu tiga kali seminggu.

“Sebanyak 20kg daging salai digunakan setiap hari untuk sajian masak lemak cili api.

“Bagi menu itu, tukang masak, Fatimah Yaacob perlu menyediakan dua kilogram bawang merah, sete­ngah kilogram cili api, 10kg santan, serai, kunyit dan garam secukup rasa.

“Selepas santan mendidih, barulah daging salai dimasukkan dan dimasak dengan api perlahan sehingga daging benar-benar lembut,” katanya.

Restoran itu turut me­nyediakan 13 jenis masakan berkuah termasuk sayur labu masak lemak, sayur goreng campur, ikan singgang, sambal kicap, sambal belacan, sambal tempoyak dan budu.

Istimewanya, di Restoran Sedap Weh ini, pelanggan boleh mengambil sendiri air minuman iaitu anggur, keladi, bandung, teh tarik dan teh-0 dalam balang dengan bayaran RM1 segelas.

Berkonsepkan ‘berjariah sambil menjamu selera’, Wan Zawawi berkata, restoran itu menyalurkan 25 peratus keuntungan bersih setiap bulan kepada Maahad Bahasa dan Ilmu al-Quran (Mabiq) di Pantai Sepat, Kuantan dan Tebing Tinggi, Jerantut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:50 AM