ANTARA babak menarik dalam drama.
ANTARA babak menarik dalam drama.
ANTARA babak menarik dalam drama.
ANTARA babak menarik dalam drama.
ANTARA babak menarik dalam drama.
ANTARA babak menarik dalam drama.
FAEZAH pegang watak Cikgu Murni.
FAEZAH pegang watak Cikgu Murni.
HEYKAL (dua dari kanan) bersama barisan kru yang terbabit dalam penggambaran drama Wadi.
HEYKAL (dua dari kanan) bersama barisan kru yang terbabit dalam penggambaran drama Wadi.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kisah kehidupan dan dilema golongan remaja pelajar sekolah jarang diangkat dalam sesebuah drama. Justeru, inilah yang cuba ditampilkan pengarah Heykal Hanifah menerusi drama Wadi yang akan menemui penonton dalam slot Zehra TV3 bermula 26 Jun ini.

Menerusi drama hasil skrip Mahizan Hussein ini, Heykal cuba merungkai permasalahan yang sering kali dialami pelajar sekolah menengah.

“Apabila dapat skrip itu, saya dengan bantuan panel skrip Luqsar Kreatif buat olahan semula agar nampak lebih mantap dan cantik. Kami perlu jadikan jalan ceritanya nampak kena dengan situasi semasa dan kehidupan realiti.

“Idea penulis skripnya bagus tapi apabila terlalu banyak perkara kelihatan seolah-olah berlaku secara kebetulan, ia nampak seperti dibuat-buat dan kurang digemari penonton.

“Tema drama ini ialah kekeluargaan. Namun, saya terapkan unsur Islamik dari segi muzik dan mood. Unsur dakwah ini bukanlah diterapkan secara langsung,” katanya.

Menurutnya, Wadi lebih berkisarkan kepada konflik keluarga dan jiwa pelajar di sekolah seperti dilalui watak Wadi yang dilakonkan Syafie Naswip.

“Tujuan kami sememangnya nak bagi golongan penonton remaja menonton cerita ini bersama keluarga mereka. Unsur cinta langsung tak diselitkan kerana saya lebih fokus pada hubungan persahabatan yang kuat antara pelajar.

“Cuma, saya wujudkan sub plot dengan menampilkan kisah percintaan antara guru menerusi watak Cikgu Naim (Zamarul Hisham) dan Cikgu Murni (Faezah Elai).

“Mereka pernah bertunang tetapi terputus di tengah jalan dan akhirnya kembali berjumpa apabila ditempat­kan mengajar di sekolah yang sama. Boleh dikatakan tidak susah untuk saya buat drama ini kerana menyukai jalan ceritanya,” katanya.

Bercerita lanjut, Heykal memuji komitmen ditunjukkan barisan pelakonnya yang memberi lebih daripada yang diminta.

“Setiap hari kami selalu berbincang sebelum penggambaran untuk mendapatkan hasil terbaik. Apabila masuk ke set penggambaran semuanya sudah tahu kerja masing-masing dan memberikan lakonan terbaik.

“Mereka juga tiada masalah dari segi jadual kerana hanya fokus pada drama ini. Ini satu pendekatan bijak kerana dapat menjadikan penggambaran lancar tanpa masalah.

“Berkenaan Syafie pula, hubungan kami memang agak rapat kerana sering bekerjasama. Namun dalam pada itu kami serius ketika di set dan dia perlu buat kelainan pada karakternya dan tak boleh sama saja dengan lakonan sebelumnya.

“Malahan bukan dia sahaja kerana boleh dikatakan semua pelakon dalam cerita ini memberikan lakonan yang mantap. Hasilnya penggambaran ini berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu 38 hari,” ujarnya.

Memandangkan kisah pelajar, drama ini turut menggunakan sekolah sebagai lokasi. Heykal beruntung kerana mendapat kerjasama baik daripada Pegawai Pendidikan Hulu Langat, Selangor yang memberikan kebenaran yang diperlukan.

“Kebenaran senang diperolehi jika penggambaran yang dibuat ada matlamatnya. Seperkara lagi, penggunaan sekolah pula kenalah maksimum sekitar 40 peratus dan bukannya hanya sedikit.

“Saya beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik serta layanan mesra daripada guru-guru serta pelajar Sekolah Menengah Jalan Reko, Kajang. Mereka bersedia memberikan bantuan apabila diperlukan.

“Saya tak berdepan cabaran besar menghasilkan drama ini. Cuma, saya kena jadikannya berbeza daripada drama yang sedia ada. Saya nak orang menonton kerana kualiti dan kemantapan lakonan pelakonnya, bukan daripada paras rupa pelakon yang ditampilkan.

“Setakat ini tiada langsung dalam kamus hidup saya untuk ambil pelakon hanya kerana populariti dan rupa semata-mata. Yang nyata, kualiti menjadi keutamaan saya,” jelasnya.

Sinopsis

Wadi mengisahkan remaja berumur 17 tahun bernama Wadi yang hidup bersama ibu tiri dan dua adik kandung perempuan berlainan ibu. Kehidupan mereka susah sekali gus membuatkan Wadi hidup dalam serba kekurangan.

Dia juga selalu dihantui rasa bersalah disebabkan kematian ayahnya yang berpunca daripada sikap pentingkan dirinya sendiri. Zainah, ibu tirinya selalu menyalahkan Wadi kerana menyebabkan kematian suaminya Bakri (ayah Wadi).

Bakri, meninggal semasa hendak membeli spike olahraga untuk Wadi biarpun ketika itu dia tidak berduit. Wadi memahami kesusahan ayahnya dan bercadang untuk kerja secara sambilan bagi mencari duit untuk membeli kasut yang diperlukan tetapi tidak dibenarkan oleh ayahnya.

Bakri, sanggup meminjam wang daripada rakannya untuk membeli spike dengan membawa Wadi bersama. Sampai di bandar, mereka berpecah apabila Wadi ke kedai buku, manakala Bakri ke kedai peralatan suka kerana niatnya untuk buat kejutan menghadiahkan Wadi dengan spike baru.

Bagaimanapun malang menimpanya apabila Bakri terbunuh kerana terserempak dengan tiga perompak yang baru merompak bank. Kematian Bakri disaksikan Wadi sendiri. Ayahnya mati di pangkuannya bersama kasut spike itu.

Sejak itulah kehidupan Wadi terumbang-ambing, manakala prestasi pelajarannya mula merosot. Hidupnya menjadi semakin kacau-bilau apabila Zainah selalu mencari pasal dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 8:13 AM