LIOW Tiong Lai menunjukkan gambar sirip Eurocopter Dauphine AS365 N3. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kerosakan sirip pengimbang dikatakan antara faktor nahas udara Eurocopter Dauphin AS365 N3 (9M-IGB) yang mengorbankan enam mangsa termasuk bekas Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis pada 4 April lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pemeriksaan di kawasan pendaratan terakhir di Sekolah Kebangsaan Ladang Kota Bahagia, Rompin, roda pendaratan kiri helikopter terbenam sedalam 20 inci ke dalam tanah lembap ketika mendarat di padang sekolah itu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan helikopter condong kira-kira 13 darjah ke kiri memungkinkan sirip pengimbang sebelah kiri dan sirip menegak disyaki mengalami kerosakan.

"Helikopter itu mempunyai dua sirip pengimbang iaitu kanan dan kiri yang terletak di ekor pesawat. Pendaratan terbabit memungkinkan bahagian ekor bawah ‘fenestron horizontal stabiliser’ sebelah kiri dan sirip menegak disyaki mengalami kerosakan.

"Terdapat juga kesan kebocoran cecair berlebihan dalam lubang roda pendaratan kiri serta di atas rumput apabila juruterbang menaikkan semula helikopter," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, buat masa ini sirip pengimbang kiri berkenaan belum ditemui dan beliau meminta penduduk Kampung Sungai Pening-Pening, Semenyih, Selangor menghubungi kementerian dengan segera sekiranya menemui sirip pengimbang helikopter berkenaan.

Helikopter itu terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening-Pening, Semenyih pada 4.55 petang 4 April lalu.

Selain Jamaluddin, turut terkorban dalam nahas itu ialah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias; juruterbang Clifford Fournier; pembantu operasi, Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 1:27 PM