DARIN (kanan) dan Somchai saling berdendam.
DARIN (kanan) dan Somchai saling berdendam.
Oleh Nor Akmar Samudin


Filem Anak Jantan mengangkat kisah Darin (lakonan Farid Kamil) yang ingin memulakan hidup baru bersama kekasihnya Nara (Nora Danish) di Kuala Lumpur, jauh dari tragedi masa silam yang menimpa mereka.

Malangnya, kebahagiaan mereka tidak bertahan lama apabila tujuh tahun kemudian musuh lama Darin iaitu Somchai tiba di Kuala Lumpur dan Darin terpaksa berdepan dengan sejarah hitamnya itu!

Apakah kisah silam Darin dan me­ngapakah Somchai (Bront Palarae) masih menyimpan dendam yang mendalam terhadap Darin?

Cinta, pengorbanan, kesetiaan dan cemburu menjadi topik utama dalam filem terbitan Grand Brilliance bersama Line Clear Motion Pictures Sdn Bhd arahan Faizul A Rashid yang menje­ngah pawagam hari ini.

Faizul memberi jaminan yang penonton pasti akan berpuas hati dengan babak pergaduhan yang berteraskan seni mempertahankan diri dan elemen itulah yang membezakan Anak Jantan dengan filem aksi lain.

"Watak pergaduhan secara profesional dan jenis pergaduhan ahli gengster yang semberono dan me­ngikut gerak langkah sendiri. Seperti filem Hollywood, Taken, aksi gaduh antara watak berlatarkan militari yang mana gerak mereka tangkas, pantas dan mendebarkan," katanya.

Menurut pengarah muda ini lagi yang begitu aktif menerbitkan iklan dan program TV, barisan pelakon hebat terutama Bront Palarae, Farid Kamil, Qi Razali dan Nora Danish banyak memberi inspirasi kepadanya untuk mengarahkan Anak Jantan.

"Saya bukanlah peminat tegar Farid Kamil, tetapi selepas melihat per­kembangannya sebagai seorang pelakon membuatkan saya bangga dengannya. Kami berkawan sejak sama-sama menuntut di UiTM (Universiti Teknologi Mara, Shah Alam) lagi di mana dia adalah junior saya ketika itu.

"Kali pertama menonton lakonannya, saya rasakan itu adalah lakonan yang paling teruk pernah saya lihat. Namun, dia kini menjadi seorang pelakon yang sangat berdedikasi dan berbakat besar," katanya.

Menyambung bicara, jelas Faizul, idea menghasilkan filem itu sebenarnya sudah lama tercetus. Anak Jantan juga adalah ilham bersama Penerbit, Latiff Mohaideen dan Penerbit Eksekutif merangkap Pengurus Besar Filem & Drama Primeworks Studios, Tengku Iesta Tengku Alaudin.

"Minat untuk menerbitkan filem ini bermula apabila saya menceritakan debaran ketika anak kecil saya Arissa Aqila, yang ketika itu berusia dua tahun hilang selama lima minit di sebuah pasar raya.

"Keadaan panik serta cemas mencetuskan pelbagai persoalan dan senario yang bakal dihadapi. Dalam masa lima minit itu saya dapat merasai perasaan seorang bapa yang terdesak dan sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan semula anaknya.

"Bermula dari situ, perbincangan idea dilakukan bersama Tengku Iesta dan Latif yang banyak memberi soko­ngan serta idea bernas sehinggalah tercetusnya skrip filem Anak Jantan hasil penulisan Opie Haris," katanya.

Selain itu, suntikan lain yang membuatnya berminat untuk mengarahkan filem aksi kerana Faizul mahu menggilap bakat hero di Malaysia di samping dia memang amat meminati filem aksi.

"Menjadi sebahagian daripada filem Anak Jantan ia menjadi batu loncatan kepada saya dan juga peluang yang sukar diperoleh dan berharap dapat melakukan sesuatu seperti Blood Diamond iaitu salah satu filem yang menjadi kegemaran saya," katanya.

Penggambaran dilakukan selama 30 hari di sekitar Kuala Lumpur, Langkawi dan Thailand.

Untuk menghasilkan filem aksi ia bukanlah tugas mudah terutama membabitkan pergaduhan dan bagi Faizul, babak pergaduhan dalam sebuah kilang sehingga Farid mengalami kecederaan ketika melakukan babak berlawan amat menguji kreativitinya.

"Kami tiada pilihan lain selain meneruskan penggambaran dan cuba menyelesaikan dengan cara yang lebih kreatif. Kami bukan saja melakukan penggambaran dari babak ke babak, malahan ada babak yang kami lakukan menggunakan adegan sebenar.

"Babak paling sukar membabitkan tembakan, penggunaan bom dan letupan. Pengalaman ini sukar diperoleh di Malaysia kerana kita tidak mempunyai kepakaran dalam kesan khas seperti di Thailand," katanya.

Bagi mencantikkan lagi jalan cerita, Faizul menggunakan segala pengalaman yang diperoleh dalam pembikinan drama dan juga iklan TV di samping belajar bagaimana untuk merealisasikan draf menjadi satu visi.

"Untuk mendapatkan satu papan cerita yang lengkap, saya menggabungkan semua idea menjadi lakaran cerita dan juga draf babak untuk di jadikan skrip. Saya bersama ahli produksi yang lain berbincang mengenai lakon layarnya.

"Saya sukakan sesuatu yang jelas dan nyata kerana ia penting untuk penceritaan dalam setiap babak. Saya pilih hanya babak yang yang penting sahaja sebelum dijadikan draf terakhir.

"Untuk menghasilkan Anak Jantan, saya menonton banyak drama dan filem aksi. Dari situ, saya belajar cara dan teknik seni mempertahankan diri. Saya mengambil siri Bourne, Old Boy dan Ong Bak sebagai rujukan utama," katanya.

Pun begitu dengan segala usaha yang dilakukannya, Faizul tetap berdebar menunggu reaksi penonton apatah lagi dengan kutipan tiket kebanyakan filem yang sudah ditayangkan begitu mengecewakan.

"Saya hanya boleh berdoa dan berharap penonton datanglah beramai-ramai menyaksikan Anak Jantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:01 AM