MANGSA maut dirmpuh kereta ketika melintas jalan. FOTO Mohd Adam Arinin
Oleh Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Seorang pelancong China maut manakala rakannya cedera selepas dirempuh kenderaan ketika melintas Jalan Coastal berhampiran bangunan Kompleks Api-Api, malam tadi.

Dalam kejadian 10.20 malam itu, mangsa Ma Hui, 28, yang berasal dari Zheijiang, China, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya Ge Bi Lin, 25, cedera di kaki kiri dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HEQ).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati kereta dari arah Kota Kinabalu menuju ke Putatan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu merempuh mereka yang dipercayai tiba-tiba melintas jalan dari tengah jalan (pembahagi jalan) ke kiri jalan.

"Akibat kejadian itu, mangsa (Ma Hui) meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kejadian ini disebabkan kecuaian pejalan kaki ketika melintas namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:07 AM