Kuala Lumpur: Ayuh ulangi sejarah 2005!

Pemain perseorangan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin membuat gesaan itu bagi menamatkan kemarau pingat emas negara acara berpasukan lelaki di Sukan SEA 2015 Singapura.

Iskandar yang disenaraikan dalam acara berpasukan menanam tekad itu kerana teruja dengan kehadiran semula Datuk Lee Chong Wei selepas isu doping.

“Kami mahu cipta sejarah. Kali terakhir Malaysia meraih emas acara berpasukan badminton lelaki di Manila. Sasaran saya kali ini lebih tinggi, melupakan kekecewaan di Myanmar dua tahun lalu apabila terkandas dalam saingan suku akhir individu lelaki,” katanya.

Jelasnya, untuk mencapai sasaran berkenaan, mereka harus terlebih dulu menjinakkan dua pencabar utama, Indonesia dan Thailand yang mempunyai kelebihan berbeza.

“Kalau kita tengok Thailand, kelebihan mereka terletak kepada pemain perseorangan. Indonesia pula lebih hebat acara beregu,” kata pemain yang bakal beraksi buat kali kedua di temasya dwi tahunan itu.

Ditanya mengenai persiapannya untuk Sukan SEA, Iskandar berkata, buat sementara waktu ini dia dibimbing Tey Seu Bock kerana jurulatihnya, Hendrawan berada di Dongguan mengiringi skuad negara ke Piala Sudirman 2015.

“Sama saja siapa yang melatih, cuma saya sedikit gembira diletakkan di bawah Hendrawan kerana dia juga pernah menjaga saya dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

“Hendrawan lebih menekankan aspek fizikal tapi lebih menggembirakan saya ialah dapat menjadi rakan sepelatih Chong Wei,” katanya yang meraih emas Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2014 Palembang.

Iskandar juga bertekad mempamerkan permainan cemerlang di Singapura sebagai membalas kepercayaan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen menyenaraikannya dalam skuad Sukan SEA.

“Saya perlu membuktikan kepadanya saya mempunyai potensi untuk membantu negara mencatat keputusan cemerlang nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:24 AM