SKUAD Penyu perlu atasi defisit 1-2 untuk layak ke final.
SKUAD Penyu perlu atasi defisit 1-2 untuk layak ke final.
Oleh Zaid Salim


Kuala Terengganu: Penyerang berbisa Paulo Rangel menjadi harapan Terengganu menggegar gawang LionsXll pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, malam esok.

Pada aksi pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, penyerang kelahiran Belem, Brazil berusia 30 tahun itu tidak dapat membantu skuad Penyu yang kecundang 1-2 kerana digantung satu perlawanan selepas dua kad kuning.

Bagaimanapun, bekas penjaring terbanyak Liga Super musim lalu itu mengakui pasukannya berdepan tugas getir menumbangkan LionsXII.

“Perlawanan ini memang sengit kerana kami perlu menang untuk ke final. Semua pemain perlu memberikan tumpuan lebih 100 peratus kerana ini peluang terbaik Terengganu.

“Kami perlu pastikan perlawanan ini memihak Terengganu kerana bukan saja penting buat saya tapi juga kepada pasukan dan seluruh rakyat Terengganu,” katanya selepas latihan di SSMZA, semalam.

Rangel berkata, selain kelebihan beraksi di laman sendiri, sokongan padu penyokong diharap dapat membantu Terengganu mencipta kemenangan.

Katanya, dia berharap rakan sepasukan dapat memberi komitmen terbaik memastikan misi ke final tercapai.

“Saya difahamkan stadium ini sudah lama tidak digunakan, saya harap perlawanan ini akan melakar sejarah dengan kemenangan sulung.

“Keseluruhan saya yakin dengan kemampuan strategi jurulatih (Abdul Rahman Ibrahim) mengimbangi corak permainan LionsXII nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:31 AM