GOL kemenangan  Juventus jaringan Morata.
GOL kemenangan Juventus jaringan Morata.
AFP

Madrid: Juventus akan berdepan Barcelona di final Liga Juara-Juara selepas Alvaro Morata kembali menghantui bekas kelab yang juga juara bertahan, Real Madrid menerusi gol penyamaan ketika kedua-dua pasukan seri 1-1 pada pertemuan separuh akhir kedua sekali gus layak menerusi agregat 3-2.

Selepas perlawanan pertama memihak kepada Juventus hasil kemenangan 2-1 di tempat sendiri, jaringan penalti Cristiano Ronaldo di babak pertama awal pagi semalam membolehkan tuan rumah mengikat kedudukan selain memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.

Begitupun, Morata yang meninggalkan Real untuk menyertai kelab juara Itali itu Julai lalu, menjaringkan gol penting menerusi rembatan voli pada minit ke-57 bagi membawa Juventus ke final buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun di Berlin, 6 Jun ini.

Perlawanan akhir itu nanti sekali lagi menemukan bintang Barca, Luis Suarez dengan Giorgio Chiellini, pemain yang digigitnya pada Piala Dunia sekali gus dikenakan hukuman gantung empat bulan serta Patrice Evra, pemain yang pernah membuatkan Suarez didakwa terbabit isu perkauman ketika kedua-dua pemain mewakili Liverpool serta Manchester United.

“Ia perlawanan yang sukar kerana Real mempunyai kekuatan di bahagian depan dan jika tidak menumpukan perhatian, mereka pasti menghukum anda,” kata pengurus Juventus Massimiliano Allegri.

“Kami mencipta banyak peluang tetapi tidak melakukan penyudah dengan baik. Kami berhak ke final kerana pemain kami matang seiring dengan perlawanan.

“Kami mengekalkan keseimbangan sepanjang perlawanan dan mental kami juga kuat.”

Sementara itu, jurulatih Real Carlo Ancelotti mendakwa anak buahnya tidak bernasib baik pada perlawanan kali ini.

“Kami tidak bernasib baik,” said Ancelotti. “Jika musim lalu kami menang Liga Juara-Juara pada minit terakhir permainan, ia tidak berulang lagi kali ini.

“Jika ada perkara perlu saya salahkan ialah cara kami bermain pada perlawanan pertama lalu. Malam ini, saya perlu berterima kasih kepada pemain kerana mereka sudah melakukan apa yang termampu.”

Cuaca panas mencecah 30 darjah Celsius tidak menghalang aksi menarik kedua-dua pasukan terutama tuan rumah yang ghairah memburu jaringan.

Gareth Bale menanduk hantaran lintang Marcelo sebelum cubaan Karim Benzema sedikit tersasar.

Tekanan makin terasa buat Madrid selepas tandukan Bale berjaya diselamatkan penjaga gol Juve, Gianluigi Buffon.

Begitupun, tidak ada apa mampu dilakukan kapten Itali itu untuk menghalang Ronaldo daripada mencetak gol ke-10 kempen Liga Juara-Juara selepas James Rodriguez dijatuhkan Chiellini sekali gus menghadiahkan penalti buat tuan rumah.

Juventus beroleh gol penyamaan selepas sejam apabila Real gagal mengeluarkan bola sepakan percuma Andrea Pirlo dan kesempatan itu digunakan Morata untuk melepaskan voli yang gagal diselamatkan Iker Casillas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:41 AM