Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Industri barang kemas dan perhiasan mengalami cabaran tahun ini berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kemerosotan nilai ringgit yang berlaku sejak akhir tahun lalu.

Pelaksanaan cukai itu mengakibatkan pelanggan mempunyai persepsi mengenai peningkatan harga jualan dan kemerosotan ringgit menyebabkan nilai barangan yang diimport menjadi lebih tinggi.

Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels), Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, sebelum pelaksanaan GST, barang kemas tidak dikenakan sebarang cukai yang membolehkan pemain industri berkenaan menawarkan harga kompetetif kepada pelanggan.

Beliau berkata, jika dilihat kepada pelaksanaan GST di Turki yang membabitkan industri barang kemas perhiasan, cukai itu hanya dikenakan ke atas perkhidmatan tenaga kerja pembuat barang kemas dan bukan ke atas emas itu sendiri memandangkan ia adalah satu bentuk pelaburan pembeli.

“Walau bagaimanapun, hanya jongkong emas tidak dikenakan GST dan saya berharap kerajaan melakukan sesuatu bagi membolehkan industri barang kemas perhiasan berkembang pada masa depan.

“Sebagai contoh, dari tahun ke tahun jualan kami meningkat antara 10 hingga 15 peratus dan dengan cabaran ketika ini, saya melihat prestasi jualan mungkin menurun pada kadar bawah 10 peratus tahun ini,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini, baru-baru ini.

Bagi mengawal kenaikan harga barang emas perhiasan, Habib Jewels melaksanakan penyerapan cukai kepada harga jualan menyebabkan margin keuntungan lebih mengecil berbanding sebelum ini.

Meer berkata, pasaran barang kemas perhiasan di Malaysia dilihat semakin tepu memandangkan banyak pemain industri menerokai pasaran tempatan.

“Emas perhiasan atau ketika ini berlian menjadi salah satu pelaburan yang mendapat perhatian pembeli kerana ia berpotensi untuk pulangan mengikut prestasi pasaran semasa. Oleh itu, sebagai salah satu pemain industri, pelaksanaan cukai itu kepada barang kemas perhiasan dapat diperhalusi.

“GST dikenakan kepada zon perniagaan bebas cukai yang sebelum ini tidak dikenakan sebarang cukai terhadap produk yang dijual di dalamnya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan Habib Jewels untuk meneroka pasaran asing, katanya, buat masa terdekat masih belum ada sebarang keputusan muktamad untuk ke arah itu.

“Namun, tidak mustahil jika kami membuka cawangan di luar negara pada tahun ini dan Asean adalah pasaran yang paling mendapat perhatian kami terutama Brunei dan Singapura.

“Perancangan untuk meneroka pasaran asing adalah salah satu agenda syarikat untuk jangka masa panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:58 AM