RADHI beraksi depan penonton di DPAC.

Mungkin peminat jarang lagi melihat lakonannya di kaca TV, namun itu bukan bermakna Radhi Khalid sudah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan.

Baginya tiada istilah bersara kerana dunia seni sudah sebati dengannya sejak 30 tahun lalu.

Cuma, pelakon yang dikenali menerusi watak lelaki Bangla, Abdulla dalam sitkom Spanar Jaya ini akur tawaran kini agak berkurangan.

Bukan saja dirinya, masalah sama turut dihadapi oleh pelakon seangkatannya.

“Saya tetap akan aktif berlakon sampai akhir hayat. Bagaimanapun tawaran itu faham-fahamlah sangat kurang. Trend drama sekarang terlalu mengutamakan pelakon remaja. Tapi kadang-kadang kita perlu kena variasikan genre drama.

“Genre cinta misalnya boleh dibuat dengan menggabungkan pelakon berusia yang bagus dan ada mesej. Stesen TV selalu kata pengiklan dan penonton mahukan pelakon muda tapi ia bergantung juga kepada pakej yang ditampilkan oleh penerbit.

“Contoh terbaik ialah drama Tanah Kubur. Bayangkan abang Nasir Bilal Khan masih mampu menarik penonton untuk mengikuti tayangannya setiap minggu. Paling akhir saya berlakon, menerusi drama Super Game Boy dan Delina.

“Dalam pada itu drama lakonan saya, Menantu Cantik sering diulang siar di Astro sekali gus membuktikan saya masih ada tempat di hati peminat. Filem terbaru yang akan menemui penonton ialah The Red Warriors yang menggandingkan saya dengan Bell Ngasri,” katanya pada sesi fotografi baru-baru ini.

Kecewa dengan apa yang berlaku, Radhi tidak mahu merendahkan tarafnya dengan meminta-minta tawaran berlakon.

“Saya akui lakonan adalah sumber pendapatan dan minat saya, tapi saya tidak boleh buat muka tebal kerana sepatutnya bakat saya dihargai. Tidaklah saya sampai jadi seperti pipi tak mancung hidung tersorong-sorong semata-mata nak cari peluang berlakon.

“Tak dinafikan saya masih dipanggil untuk sesi uji bakat. Cuma, segelintir pihak lebih melihat kepada populariti dan paras rupa. Bagi saya jangan tengok pada kecantikan luaran saja sehingga melupakan aspek lakonan.

“Yang penting kita kena pandai adunkan resipinya. Tak dinafikan ada pelakon baru yang mempunyai pakej dan berdisiplin tapi penerbit kenalah pandai olah dengan pelakon senior,” katanya.

Tubuhkan syarikat sendiri

Berbekalkan pengalaman luasnya dalam seni, pemenang Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia 18 menerusi filem Qaisy & Laila ini turut menubuhkan produksi sendiri dinamakan Radhikal Films Sdn Bhd yang setakat ini sudah menghasilkan telefilem Baran dan Daging Darah.

“Baran arahan Michael Ang menampilkan pelakon Scha Al Yahya dan Kamal Adli sudah menemui penonton. Begitu juga Daging Darah arahan Mior Hashim Manap lakonan saya sendiri, Rozie Rashid, Imam Muda Aran dan Mazin Anisa Siraj juga dah ditayangkan.

“Alhamdulillah respon daripada penonton sangat bagus. Selain itu saya juga bertindak selaku penganjur acara, teater, pengacara majlis dan bakal menghasilkan filem Raju & Raja. Saya juga sering mengelolakan bengkel teater di sekolah, kolej dan institut pengajian tinggi.

“Kadang-kadang saya dijemput sebagai ahli panel program seni dan saya suka apa yang dilalui,” katanya yang masih memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).

Dalam pada itu, Radhi akan menjayakan pementasan teater berjudul How I Learnt To Accept Reality By Sleeping Through It (Anak/Benih) arahan Christopher Ling di Black Box, Damansara Performing Arts Centre (DPAC) bermula semalam hingga Sabtu ini.

“Persembahan dibuat dalam bentuk dua babak meng­gunakan dwi bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Ceritanya menampilkan institusi kekeluargaan. Pelakon lain yang terbabit ialah Belinda Hon, Shah Shaha serta Hanna Azlan yang bermain ukelele.

“Babak pertama teater tulisan Ariff Kamil dari Sabah ini menggunakan Bahasa Melayu Sabah, manakala babak kedua dalam Bahasa Inggeris sepenuh­nya. Cerita ini sangat menarik dan diharap peminat hadir menonton,” katanya.

Tiket untuk menonton berharga RM40 dan RM30 (pelajar, warga emas dan OKU) boleh didapati dengan menghubungi talian 03-40650001 atau layari laman web www.dpac.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 11:31 AM