GABUNGAN komposer, penyanyi baru dan lama meriahkan program Cipta Ekspres di Kuala Linggi, Melaka, malam kelmarin.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Sudah lebih sedekad dianjurkan, program Cipta Ekspres (CE) tidak pernah dilihat gagal membawa matlamat dalam melahirkan lagu-lagu berkualiti.

Baik dari segi susunan muzik mahu pun lirik, program anjuran Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) ini bukan saja memberi peluang komposer dan penulis lirik memerah idea dalam masa yang singkat, tetapi membolehkan mereka menghasilkan karya untuk diketengahkan ke pasaran komersial.

Lari dari lokasi dan suasana biasa di Port Dickson, CE2015 yang diadakan selama empat hari bermula Isnin lalu hingga semalam memilih Kuala Linggi, Melaka sebagai ‘port’ baru untuk barisan komposer dan penulis lirik yang terpilih mencurah rasa.

Jika tahun sebelumnya program ini membabitkan gabungan komposer lama dan baru, edisi kali ini pesertanya terdiri daripada wajah-wajah baru.

Pengerusi MACP dan Malam Cipta Ekspres, Habsah Hassan berkata, harapannya tetap sama seperti penganjuran sebelum ini yang mahu setiap karya itu dapat dipasarkan kepada penerbit-penerbit album dan dinyanyikan penyanyi sedia ada.

“Program ini bertujuan untuk mencari karya-karya baru dan segar. Apabila karya itu siap dihasil­kan dalam tempoh yang ditetapkan seterusnya dipersembahkan, itu satu kejayaan buat mereka.

“Justeru, saya berharap lagu-lagu yang dihasilkan di sesi kali ini dapat dipasarkan oleh penerbit-penerbit album dan dinyanyikan penyanyi yang dipilih komposer terbabit.

“Sama seperti tahun-tahun sebelumnya juga, kita tidak pilih kasih dalam mendapatkan peserta program ini. Ada masa kita menggabungkan orang lama dan baru dan ada masa semuanya orang baru. Dulu kita pernah tetapkan tema lagu-lagu yang perlu dihasilkan, tapi selepas itu kita sebulat suara untuk memberi kebebasan dalam berkarya,” kata­nya ketika ditemui di malam persembahan CE2015 di Umang-Umang Chalet, Kuala Linggi, Melaka, malam kelmarin.

Dalam program CE2015 ini, majoriti pesertanya terdiri daripada komposer dan penulis lirik baru dan ia satu perkembangan positif seterusnya dapat melahirkan pelapis berbakat.

“Disebabkan banyak kegiatan seni yang tidak menyediakan pelapis, jadi untuk bidang penulisan lagu dan lirik ini industri muzik kita perlu ada. Kita tidak boleh kedekut dalam memberi peluang kepada mereka. Bukan apa, mereka yang baru inilah akan meneruskan perjuangan orang-orang lama. Dari situ, ia sedikit sebanyak menambah lagi khazanah muzik tempatan,” katanya yang juga penulis lirik tersohor.

Pada malam persembahan CE2015, sebanyak 10 lagu diperdengarkan dan lagu berjudul Tunggu ciptaan AG Coco dan Zydee One Nation Emcees dipilih sebagai lagu pilihan oleh barisan juri.

Mereka yang lain terbabit dalam program ini ialah Anjang dan Zizie Mansor yang menhasilkan lagu Bila Kata Hati, Errie Naham & Hunny Madu (Vibes dan Di Sini) dan Mark Adam & Nazri Al Farabi (Terbaik Untukku).

Selain itu Aidil AF3 & Syed ENV (Sampai Mati), Art Fazil & Yasin Pitahati (Sama Sama Gila), Ammar Habir & Cat Farish (Hentinya Di Sini), Sam Kuman & Takahara Suiko (AEIOU) dan Zize Mansor (Kopi O Manis).

Untuk rekod, lagu-lagu seperti Kalau Aku Kaya nyanyian Awi Rafael dan Altimet, Kalau Berpacaran (Ana Raffali dan Sohaimi Mior Hassan), Membunuh Benci, Sanubari dan Mula dan Akhir (Datuk Siti Nurhaliza) antara yang dicipta menerusi penganjuran terdahulu.

Nafi tidak berkualiti

Memandangkan masa yang diberikan kepada setiap peserta untuk menghasilkan setiap lagu hanya sehari, itu tidak bermakna karya berkenaan tidak berkualiti.

“Ini satu cabaran dalam kerja seni dan saya bercakap untuk diri sendiri juga. Kadang-kadang bekerja dalam tempoh waktu yang terdesak itu lebih bagus hasilnya berbanding karya yang dicipta lama. Sejak program ini dijalankan, belum ada lagi mana-mana peserta yang berputus asa. Sebaliknya, ada yang mampu menghasilkan lebih sebuah lagu,” kata Habsah.

Kata-kata Habsah turut disokong penerbit dan komposer terkenal Fauzi Marzuki yang juga mentor kepada beberapa peserta dalam program itu.

“Ia bukan platform untuk mencipta lagu semata-mata, tapi lebih kepada mencari idea baru. Apabila mereka berkampung selama beberapa hari, masing-masing dapat bekerjasama dan mencurah idea bersama. Jika diberi purata, saya letakkan 100 peratus. Harapnya di tahun akan datang lebih banyak lagi karya yang bagus,” katanya.

Seorang lagi mentor dan penasihat yang diberi tanggungjawab untuk membimbing peserta terbabit ialah Datuk M Nasir.

Menurut Nasir, dia mendapati semua lagu yang dihasilkan kali ini berkualiti, tetapi mengharapkan mereka lebihkan tenaga dan emosi bagi lagu yang dicipta.

“Saya percaya, dengan latihan yang kerap penghasilan lagu-lagu itu akan jadi lebih baik. Bukan hendak kritik, tapi setiap generasi ada kekuatan tersendiri. Banyakkan pengalaman dan mendengar agar penciptaan menampakkan peningkatan,” katanya.

Lirik sekarang lebih ringkas

Apa yang pasti, CE diwujudkan bukan sebagai untuk mencari siapa hebat. Objektifnya lebih kepada semangat kerjasama dalam setiap kumpulan yang membabitkan komposer dan penulis lirik.

Menurut Habsah, program ini memberi ruang dan peluang kepada semua ahli MACP agar saling bekerjama seterusnya menghasilkan karya berkualiti. Paling penting, mereka dapat berkenalan kerana ada antara mereka baru pertama kali berjumpa.

Dalam masa sama, Habsah mendapati lirik-lirik lagu hari ini yang kebanyakannya agak ring­kas adalah trend.

“Mahu kata tak boleh, tak patut juga kerana ia satu perkembangan. Walaupun ia tak membantu mempertingkatkan mutu muzik tanah air, tapi kita tak boleh halang. Memang ada yang bagus tapi tiada nilai estetika. Apabila tidak ada nilai-nilai sedemikian, nak bertahan lama agak susah. Memang lagu itu akan hits, tapi sejauh mana ia mampu kekal lama atau berada pada tahap evergreen,” katanya.

Mark Adam kongsi pengalaman

Percubaan pertama penyanyi Mark Adam dilihat berhasil apabila lagu ciptaannya berjudul Terbaik Untukku dan lirik Nazri Al Farabi itu menerima respons positif.

“Lagu ciptaan saya ini berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini. Ia dihasilkan dalam masa sehari saja. Liriknya pula berkisar mengenai perjalanan kehidupan saya. Apa yang saya boleh katakan, melodi dan liriknya sangat sesuai. Berkenaan program ini pula, ini satu pengalaman yang bagus untuk saya dan juga bakat-bakat baru lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 11:46 AM