Oleh Rosli Ilham

Dungun: Bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis di rumahnya di Taman Alur Jejawi, di sini, pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira 6 pagi.

Menurut anaknya,Mohd Nazir, 26, arwah ayahnya itu meninggal dunia ketika ingin ke bilik air mengambil wuduk untuk mengerjakan solat subuh.

Sebelum kejadian, Mohd Nazir berkata, dia menemani arwah ayahnya bersembang berhubung isu semasa dan politik sehingga 4.30 pagi.

"Saya minta arwah ayah tidur kerana saya perlu ke stesen bas ekspres untuk menjemput ibu, Che Norleha Ismail, 58, yang baru tiba dari Kuala Lumpur.

"Sebaik tiba di rumah, arwah sempat bersembang dengan ibu seketika sementara saya masuk ke dalam bilik sebelum dia terjatuh," katanya.

Katanya, sebaik keluar dia mendapati arwah yang berada di atas riba ibunya sudah meninggal dunia.

Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya selepas solat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 12:03 PM