KELUARGA Nor Dyla pada majlis dikir berendoi di rumahnya, baru-baru ini.
Oleh D J Dolasoh
rencana@hmetro.com.my


Adat berendoi pernah menjadi kelaziman kepada masyarakat Melayu satu ketika dulu yang diadakan selepas dianugerahkan cahaya mata dan disambut penuh meriah tetapi kini seperti dilupakan.

Bagaimanapun, sepasang suami isteri guru meneruskan adat tradisi warisan moyang ini apabila mengadakan upacara dikir berendoi ini untuk empat anak mereka, baru-baru ini.

Pasangan Nor Dyla Ismail, 34, dan suaminya, Mohammad Tajul Rosli Saiful Anwar, 34, dari Kampung Kubang Jambu, Lenggong, Perak mengadakan dikir berendoi itu untuk anak mereka, Yasmin Sumayyah Mohammad Tajul Rosli yang lahir pada 13 November tahun lalu.

Nor Dyla berkata, bagi melaksanakan tradisi dikir berendoi itu, sekumpulan 20 ahli marhaban dari Kampung Kuak, Lenggong dijemput bagi melakukan adat itu yang berlangsung selama satu setengah jam.

Acara dimulakan dengan marhaban, nyanyian kisah Rasulullah SAW semenjak dalam kandungan ibu yang dilagukan secara serentak oleh ahli kumpulan sebelum diakhiri dengan doa.

“Ini kali ketiga saya mengadakan tradisi dikir berendoi ini, yang pertama ialah anak kembar iaitu Yasmin Humaira dan Yasmin Zubaidah, 7, dan kedua Mohammad Tajul Affan, 4.

“Saya dan suami akan meneruskan tradisi dikir berendoi ini jika Allah mengurniakan lagi anak kepada kami,” katanya.

Nor Dyla guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad (SMKDA) Lenggong dan suaminya yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Chepor, Leng­gong teruja mengadakan tradisi dikir berendoi sejak berkahwin lapan tahun lalu.

Kumpulan marhaban yang mengendalikan dikir berendoi diketuai Mat Ali Mat Hussin itu membawakan pelbagai bentuk lagu ala padang pasir yang menarik pendengar antaranya bayati, sikah, hijaz dan nahwan.

Selain sebutan dalam bahasa Arab, ia juga diterjemahkan ke bahasa Melayu yang boleh difahami dengan jelas amat sarat dengan nasihat dan wajar dimulakan kepada anak yang baru lahir.

Menurut Nor Dyla, pada majlis dikir berendoi ini juga dilakukan sembelihan kambing untuk akikah sebagai memulakan penghidupan anak dengan amalan kebajikan yang diharap memberi kebaikan kepada anak-anak dan keluarga.

“Saya berharap, tradisi dikir berendoi yang menjadi warisan moyang ini akan hidup kembali dalam masyarakat hari ini terutama ramai generasi muda kini sudah tidak mengetahuinya lagi,” katanya.

Sementara itu, ketua perempuan kumpulan dikir berendoi itu, Siti Khadijah Mohd Taha, 72, berkata kumpulan itu ditubuhkan pada 1950 yang diasaskan bapanya, Syed Abdul Hamid Syed Mat Taha.

Menurutnya, pada permulaan penubuhan dulu ia hanya dianggotai ahli keluarga mereka saja dan keahliannya ada perempuan dan lelaki tetapi kini disertai sesiapa saja di kampung itu yang berminat.

Katanya, dulu terlalu banyak permintaan daripada masyarakat untuk mengadakan dikir berendoi ini sehingga hampir setiap hari dijemput untuk membuat persembahan termasuk ke seluruh Perak.

“Kami bangga kerana sejak setahun lalu diberi kepercayaan untuk membuat beberapa persembahan dikir berendoi di beberapa buah rumah kenalan di Kuala Lumpur yang berasal dari Perak.

“Majlis dikir berendoi ini patut dihidupkan kembali ke dalam masyarakat kita kerana ia bukan saja memulakan anak yang baru lahir dengan amalan kebajikan tetapi boleh menginsafkan kita hakikat kejadian manusia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 12:07 PM