DARI kanan -Mael, Izo, Lola dan Eddie berjanji akan menggegarkan Stadium Merdeka dengan persembahan mereka.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Mungkin kerana gagal memahami kerja wartawan membuatkan penyanyi utama XPDC, Mael menganggap soalan yang diajukan pada sidang media Konsert Rockestra XPDC: Aku Masih Di Sini kelmarin tidak penting sehingga menimbulkan suasana ‘tegang’ buat seketika.

Penyanyi bernama sebenar Syed Ismail Syed Ibrahim, 47, itu sudah menunjukkan rasa tidak senangnya seawal soalan pertama lagi apabila ditanya mengenai dua anggota asal iaitu Zuar (bass) dan Amy (dram) yang kini digantikan oleh Eddie dan Lola.

“Rasanya soalan itu tak penting dan perlu jadi soalan nombor 10. Seorang anggota asal berundur atas sebab-sebab kesihatan, manakala yang seorang lagi memang buat keputusan tinggalkan kami.

“Perkara ini tiada isu kerana peminat setia kami dah tahu. Lola dan Eddie pun dah dikenali dan gabungan yang sedia ada dapat berikan sesuatu yang baru. Kalau boleh saya memang nak anggota asal XPDC kekal tapi saya tak boleh paksa mereka.

“Tiada unsur-unsur pergaduhan di antara kami kerana perkara ini berlaku secara baik,” katanya.

Beberapa soalan lain yang ditanyakan selepas itu turut disifatkan sebagai perkara tidak penting oleh Mael.

Situasi ‘tegang’ ini bagaimanapun tidak berlarutan kerana selepas campur tangan beberapa pihak, Mael kembali memberi kerjasama berkongsi cerita berkenaan konsert yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 6 Jun ini sempena ulang tahun XPDC ke-26.

Menurut Mael, XPDC yang pernah mengadakan konsert berskala besar di Stadium Merdeka pada 1997 menjanjikan peminat akan terhibur dengan persembahan mereka.

“Sebelum ini ada tawaran untuk kami beraksi dalam konsert besar tapi tiada rezeki untuk jadi kenyataan. Untuk itu kami sifatkan konsert ini sebagai reunion konsert buat semua. Mungkin generasi peminat kami dah berkahwin dan mereka akan datang bawa keluarga bersama.

“XPDC bukanlah tak aktif langsung kerana kami banyak terbabit dengan acara kecil sebelum ini. Kami tak larikan diri daripada mana-mana pihak, cuma tiada sesuatu yang menarik untuk dikongsi dengan peminat,” katanya.

Mael berkata, peminat meminta XPDC menyampaikan rangkaian lagu popular mereka dan permintaan itu tentunya akan ditunaikan.

“Untuk persembahan selama dua jam ini, kami akan menampilkan 25 lagu popular yang hampir keseluruhannya diiringi oleh mini orkestra. Lola dan Eddie sudah dua tahun bersama XPDC dan tentunya mereka akan memberikan persembahan yang mantap.

“Kami terima tawaran adakan konsert ini kerana memenuhi kehendak peminat dan penganjur. Diharap keadaan cuaca juga baik nanti. Dulu kami berjaya tarik hampir 30,000 penonton tapi kali ini kami tak letakkan sasaran tertentu.

“Hanya, kami harap dapat menarik semula kehadiran semua generasi untuk sama-sama hadir. Sesuai dengan tajuk konsertnya Aku Masih Di Sini, kami ingin membuktikan yang XPDC masih bertahan kerana peminat,” katanya.

Diminati kerana genre metal, Mael tidak menafikan masih dibayangi oleh kehebatan sentuhan Allahyarham Zul Adnan Mohd Razali atau JS Kevin yang menghasilkan lagu berentak balada buat XPDC.

“Pengalaman dan ilmu banyak diajarkan oleh beliau buat kami. Kami memang berangan-angan nak tubuhkan band semasa muda dan beruntung jumpa orang yang betul seperti beliau. Mungkin tanpa beliau juga, jadi punca XPDC kurang menonjol seperti dulu.

“Bukan saja kami, kehilangannya turut dirasai oleh semua kumpulan rock yang mendapatkan khidmat lagunya,” katanya.

Ibarat rumah tangga

Mael tidak mahu lagi mengenang kisah pengunduran dirinya daripada XPDC. Baginya apa yang berlaku adalah proses kehidupan.

“Macam rumah tangga juga begitulah halnya dalam kumpulan. Apabila orang menghargai saya, ia sesuatu yang bagus. Saya kembali apabila diperlukan. Saya ayah kepada lima anak yang dah dewasa.

“Tak dinafikan mungkin saya akan malu nak ‘rockin’ depan anak-anak. Mereka juga minat muzik tapi saya tak menggalakkan kerana cabarannya sangat besar. Pemuzik perlu bergelut dengan pelbagai cabaran,” katanya.

Mael mengalu-alukan sekiranya Zuar dan Amy hadir menonton konsert ini. Bahkan dia sanggup memberikan kerusi VIP untuk mereka.

“Macam saya cakap, pengunduran mereka bukan kerana masalah peribadi. Memang mulanya saya ada perancangan nak babitkan mereka, Ali serta sesiapa sahaja yang pernah bersama XPDC dalam suatu konsert.

“Tapi mungkin bukan untuk kali ini dan ditempat lain. Apapun kita tengok pada sambutan konsert ini terlebih dahulu untuk melangkah lebih jauh,” katanya.

Tiket untuk menonton konsert berharga RM95 dan RM350 untuk VIP boleh didapati di semua cawangan Rock Corner atau menerusi tickethotline.com.my.

Konsert ini juga akan dirakam dalam bentuk album dan DVD.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:03 AM