SYED Faisal (kiri) melihat harga pasaran di Bursa Saham Malaysia.
SYED Faisal (kiri) melihat harga pasaran di Bursa Saham Malaysia.

Kuala Lumpur: Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) bercadang untuk menambah loji janakuasa arang batu pada masa depan memandangkan ia dapat menjana lebih banyak perolehan.

Penambahan loji itu juga boleh membantu kerajaan memperoleh penjanaan tenaga yang mempunyai kos lebih murah serta mengurangkan tarif kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, bagaimanapun syarikatnya tidak mengehadkan kepada loji janakuasa arang batu saja memandangkan kebanyakan loji janakuasa Malakoff berkuasa gas.

Beliau berkata, dalam perkembangan lain, pihaknya juga akan sentiasa mencari peluang untuk pengambilalihan saham daripada mana-mana syarikat yang berpotensi di luar negara.

“Walau bagaimanapun, kami hanya akan mengambil alih syarikat yang benar-benar layak saja dan bukan secara keseluruhan pegangan saham,” katanya selepas penyenaraian sulung Malakoff di Bursa Saham Malaysia, semalam.

Penyenaraian itu menyaksikan kaunter premium dibuka pada satu sen lebih tinggi kepada RM1.81 sen seunit pada jumlah dagangan dingin 13.845 juta bertukar tangan. Saham Malakoff pula ditutup mendatar pada kadar RM1.80 dengan jumlah dagangan 3.12 juta saham diniagakan. Penyenaraiannya ketika ini merekodkan paling terbesar di Malaysia dan ketiga terbesar di Asia Tenggara.

Syed Faisal berkata, Malakoff kini mempunyai aset janakuasa dan air di pasaran tempatan, Timur Tengah, Afrika Utara dan Australia yang pada 2013 syarikatnya sudah mengambil alih 50 peratus pegangan saham dalam syarikat tenaga boleh diperbaharui, Macarthur Wind Farm di Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:05 AM