PENYOKONG kerajaan Presiden Abed Rabbo mengusung rakan mereka ke hospital selepas dia cedera dalam pertempuran dengan pemberontak Houthi di Taiz, bandar di barat daya Yaman, semalam.
PENYOKONG kerajaan Presiden Abed Rabbo mengusung rakan mereka ke hospital selepas dia cedera dalam pertempuran dengan pemberontak Houthi di Taiz, bandar di barat daya Yaman, semalam.
AFP

Sanaa: Arab Saudi yang mengetuai serangan terhadap pemberontak Houthi di Yaman memberi amaran kelmarin gencatan senjata lima hari di negara itu tidak bertahan lama sekiranya ia terus dicabuli.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa semua pihak bertelagah di Yaman menghentikan serangan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Arab Saudi dalam satu kenyataan, menuduh militan Houthi mencabuli gencatan senjata dengan meneruskan operasi ketenteraan termasuklah menyerang kedudukan tentera negara itu di sempadan dan menyasarkan kediaman awam.

“Komitmen militan Houthi dan penyokongnya terhadap gencatan senjata tidak akan bertahan lama sekiranya mereka terus bertindak seperti itu,” kata kenyataan itu.

Gencatan senjata bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan itu bermula lewat Selasa lalu.

Ia yang pertama sejak tentera pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan kempen serangan udara terhadap kumpulan pemberontak bermula 26 Mac lalu.

Kempen itu dilancarkan bagi mengembalikan kuasa Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi yang kini berlindung di Riyadh selepas militan Houthi dan unit tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh menguasai sebahagian besar negara itu.

PBB menganggarkan seramai 1,500 nyawa melayang dalam serangan udara dan pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan pejuang prokerajaan di Yaman sejak Mac lalu.

Wakil PBB ke Yaman, Ismail Ould Sheikh Ahmed berkata, beliau sangat bimbang mengenai pencabulan gencatan senjata itu dan mendesak semua pihak menghormati perjanjian berkenaan.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al Jubeir mendesak militan Houthi mematuhi syarat gencatan senjata dan menghentikan tindakan agresif mereka sekiranya mahu perjanjian itu diteruskan.

“Gencatan senjata lima hari ini bergantung kepada kepatuhan militan Houthi tetapi malangnya mereka tidak bertindak sedemikian,” katanya dalam satu sidang akhbar di Camp David, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:07 AM